Isnin, 30 Mei 2011

Masalah teksi kat Telok

Pengguna gesa tambah teksi 


TELOK PANGLIMA GARANG - Penduduk di sekitar Pekan Telok Panglima Garang meminta pihak yang bertanggungjawab supaya menaik taraf perkhidmatan teksi di pekan berkenaan untuk kemudahan pengguna.
 

Penduduk, Noraini Rahmad berkata, pelbagai kemudahan baru perlu diwujudkan seperti perhentian teksi kedua, kemudahan medan selera, pusat rekreasi dan sebagainya sebagai langkah mewujudkan sebuah pembangunan yang pelbagai. 

Menurutnya, orang awam yang menggunakan perkhidmatan teksi terpaksa menunggu lama akibat kekurangan jumlah pengangkutan awam terbabit yang disediakan di sini. 

“Sekiranya pengguna mahu mendapatkan perkhidmatan teksi yang cepat, mereka terpaksa menunggu teksi di Perhentian Teksi di Pekan Banting. 

“Dalam pada itu, perkhidmatan teksi di pekan ini sememangnya penting kerana ia adalah pengangkutan alternatif penduduk selain bas,” katanya kepada Sinar Harian. 

Noraini berkata, sebagai penduduk yang menggunakan perkhidmatan teksi, kita mengharapkan pusat tumpuan teksi diwujudkan di kawasan berkenaan supaya memberi keselesaan kepada penduduk lebih-lebih lagi pekan berkenaan berhampiran dengan Daerah Klang. 

Menurutnya, kebanyakan penduduk bekerja di Klang dan terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan awam. 

Pelajar swasta, Rashidah Ali, 19, berkata, dia terpaksa keluar awal pagi semata-mata ingin mendapatkan perkhidmatan teksi di kawasan berkenaan untuk ke sekolah swasta di Klang. 

Menurutnya, sekiranya dia mendapatkan perkhidmatan bas, bas berkenaan hanya berhenti di Perhentian Bas Klang dan tidak dapat menghantarnya terus ke sekolah. 

“Selain itu, sebagai penduduk kita mahukan pelbagai kemudahan baru diwujudkan di kawasan berkenaan kerana Telok Panglima Garang kini menjadi kawasan perindustrian yang sentiasa sibuk. 

“Oleh itu pihak yang bertanggungjawab perlu memandang serius perkara ini walaupun pekan berkenaan bukanlah pekan utama daerah Kuala Langat,” katanya. 

Tinjauan Sinar Harian ke Pekan Telok Panglima Garang baru-baru ini mendapati pekan tersebut sentiasa sibuk pada awal pagi dan waktu malam akibat penduduk keluar dan pulang bekerja di kawasan berhampiran. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Seronoknya Berhari Raya di Klang.....Suatu Masa Dahulu

Salam buat semua. Atok muncul lagi. Hehehe...Sengaja Atok sambung balik cerita Atok hari itu pasal Puasa dan Raya. Orang Melayu ini berbeza ...