Memaparkan catatan dengan label mosque. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mosque. Papar semua catatan

Ahad, 1 Februari 2015

Kisah Kem Jepun dan Pesta Mandi Safar di Morib


Salam buat semua. Apa khabar sahabat handai, saudara mara, kaum kerabat, warigh semua? Moga korang sihat adanya. Syukur ke hadrat Allah SWT atas segala limpah kurniaNya termasuk dipanjangkan umur dan diberiNya kesihatan yang baik. Moga-moga kita semua berada dalam kesejahteraan hidup, baik di dunia mahupun di akhirat kelak.

Tanggal 17 Januari 2015, hari itu aku balik ke TPG kerana menghadiri perkahwinan anak jiran lama aku di Taman Seri Putra Banting. Dah lama wey aku tak ziarah jiran-jiran lama aku masa aku menetap di Banting, maso den jadi cikgu sekolah kek Jugra. Dah lebih 13 tahun aku meninggalkan Banting dan Telok untuk masuk suku, jadi warigh orang Nogori Sembilan. Aku ikut Jambatan Kg. Sawah untuk ke sana. Terpampang di papan tanda tepi jalan arah ke Morib. Dalam perjalanan itu tetiba nostalgia lama aku berkelah bersama-sama keluarga, tidur berkhemah bersama kawan-kawan selepas SRP serta kenangan pesta laut di Morib menerjah minda aku. Nasib baik tak ada kereta  lain masa itu, kalau tidak haru biru jadinya.
Papan Tanda Tempat-tempat Menarik di Banting

Fikiran aku sekonyong-konyongnya membawa aku ke pasir pantai yang memutih, air laut yang membiru, deruan ombak menghempaskan diri ke pantai itu. Bahkan lebih jauh daripada itu, aku membayangkan perkampungan nelayan miskin di Morib ketika Sultan Abdul Samad mula menduduki takhta singgahsana kesultanan Selangor di Jugra. Lama benar aku tak merasai kedinginan dan kebiruan air laut di Morib.

Aku kerap kali ke pantai Port Dickson kerana hampir dengan Senawang, tempat tinggalku kini, hanya 30 minit perjalanan dengan motokar. Memang PD lebih popular berbanding Morib sebagai destinasi perkhelahan atau mandi manda kerana banyak pantai yang indah di sini, bahkan hotel dan resort bertaraf 3,4 bintang pun berlambak di sini. Memang airnya lebih bersih berbanding di Morib yang berlumpur pasirnya dan jauh sungguh surutnya, tetapi aku rindukan kedamaiannya, kesepiannya, kepah-kepah yang beribu banyaknya ketika air laut surut. Kurang manusia berkunjung bererti lebih mendamaikan. Aku dah bosan dengan hiruk pikuk kehidupan di bandar. benci aku pada bunyi hon kereta, lori dan bas. Kalau aku kaya, pasti aku bina sebuah banglo untuk aku dan keluarga di Morib. Aku akan baring bersantai di bawah teduhan pokok rhu selepas makan tengah hari di atas pangkin di tepi laut. Aku akan melupakan stres duniawi apabila bayu lembut menyapa ketika itu. Ketika malam pula, aku dialunkan irama ombak yang begitu setia kasihnya terhadap pantai. Oh, kalaulah….

Pantai Morib yang telah ditembok dan dinaiktaraf.
 Perhatikan pokok-pokok Rhu dan Tembusu yang mewarnai pantainya

Pantai Morib ketika air surut...berlumpur dan berkepah

Kini aku mengerti mengapa penjajah merangkap penyamun Mat Salleh  korporat keparat itu membina banglo rehat  mereka di Morib, di tepi pantai untuk pegawai-pegawai dan manager estet mereka. Mereka adakan perjumpaan persatuan Peladang mereka di banglo ini ,memikirkan cara dan bagaimana mereka hendak menggeledah sehabis-habisnya hasil bumi kita untuk dibawa balik ke negara mereka di England itu sambil merehatkan minda.

Oklah…. back to the real world.  Balik jer dari TPG hari itu, aku mula melakukan research sikit kat internet dan surat khabar lama dulu tentang Morib dan kehidupan masyarakatnya. Banyak yang aku tak tahu rupanya! Makin aku baca, makin aku jatuh cinta dengan Morib, walaupun reputasi negatifnya pada aku sebelum ini hanyalah sebuah petempatan nelayan kecil di sebuah pantai berlumpur yang disempadani kandang-kandang babi di kampung-kampung berhampiran seperti di Batu Untong dan Tanjung Layang. Aku merasakan setiap kali aku berendam di laut Morib seolah-olah aku mandi bergelumang dalam kolam najis babi, walaupun pada hakikatnya tempat-tempat tersebut berbatu-batu jauhnya dari pantai Morib ini.

Mengikut kajian aku, Morib ini telah wujud ketika kesultanan Sultan Abdul Samad.  Pada tahun 1893,Penghulu Morib ketika itu Raja Mon , dikatakan telah membuka kawasan-kawasan pertanian untuk tanaman kelapa. Namun begitu tanaman mereka seringkali dirosakkan oleh babi hutan. Rotan dan perikanan juga kegiatan ekonomi utama di sini, biasanya untuk untuk pasaran Klang dan Kuala Lumpur. Pada tahun 1898, British telah mendirikan ‘ halting bungalow’ di Simpang Morib dan Rumah Rehat Kerajaan di Morib yang dijaga dengan baik oleh seorang Melayu. Pada tahun 1913, Sanatorium di Morib mempunyai sebuah banglo lama sedia ada, dengan 6 buah bilik dan setiap bilik menempatkan 2 buah katil manakala banglo baru mempunyai 2 bilik. Di setiap banglo ada seorang penjaga, seorang tukang masak dan seorang tukang angkat air yang digajikan. Kesemua mereka kemungkinannya berbangsa Cina Hailam. Rest house dan sanatorium ini menjadi  ‘favourite resort’ pegawai-pegawai kerajaan berbangsa  Inggeris dan pengurus-pengurus dari estet-estet berhampiran.




Pada tahun 1922, laluan Banting-Morib telah bersambung dengan Jalan Sepang apabila jalanraya sejauh 21 batu dibina. Ini menjadikan keseluruhan pesisir pantai Kuala Langat dan Sepang dapat dihubungi dengan pengangkutan darat dengan bandar-bandar besar seperti Klang, Seremban dan Kuala Lumpur. Segala hasil mahsul Morib kini dapat dipasarkan. Tapi ada sesuatu yang pelik tapi tak kesampaian berlaku di Morib, at least atas kertas. Nak kata ada tapi tak ada, nak kata tak ada tapi atas kertas ada. Ish,ish,ish… pening kepala aku memikirkannya. Bukan aku seorang, tapi semua orang di Morib termasuk di Telok hingga ke Klang pun pening sama. Kalau ler jadi, seronoknya! Tapi apakan daya, tidak menjadi kenyataan. Mesti korang pening dan terkeliru macam orang mabuk ketum, kan? HAHAHA…memang ler…Cuba korang sabar sikit, bagi  ler chance aku minum dulu. Ceritanya begini…

Memang sejak tahun 1913, Kerajaan Inggeris beria-ia nak jadikan Morib sebagai pusat riadah dan rekreasi yang utama di Malaya untuk pegawai-pegawainya serta untuk masyarakat umum. Mereka dah rancang nak bina banyak banglo rehat di situ, siap mereka dan sediakan bajet untuk bina landasan keretapi dari Klang terus ke Morib.  Jadi, diorang  siap buat survey sama ada menguntungkan atau tidak. Bagi mereka, perancangan ini akan memberi kebaikan dari segi ekonomi kepada kerajaan negeri. Bayangkan, dari tahun 1913 sehingga 1925, mereka kata projek ini masih ‘on’ tapi tak ada sebarang rel keretapi pun yang dipasang. Cinabeng punya Residen!
Peruntukan Kewangan untuk projek Jalan keretapi
Klang- Morib 1912

Penambahan Peruntukan untuk Projek Rangkaian Keretapi
Klang- Morib 1913

Tapi orang Melayu taklah hairan sangat dengan keretapi bagai. Lagi pun, bukan diorang yang nak tinggal kat rest house semua tu. Yang penting, pembangunan khusus untuk mereka dan anak-anak mereka di kampung Morib.  Alhamdulillah, pada tahun 1926, Sekolah Melayu Morib dibina.
Walaupun tak ada keretapi di Kuala Langat, tetapi di Morib dah banyak dah dibina rumah-rumah rehat. Pada tahun 1931, Morib sudah mempunyai rest house kecil  dan banglo sanatorium, istana hinggap Sultan, banglo rehat swasta dan  banglo kepunyaan persatuan-persatuan kebajikan.
Tapi yang peliknya, tidak pula dibina pusat perniagaan atau tempat menjamu selera, makanan laut untuk pengunjung-pengunjung di situ. Masing-masing makan makanan yang dibawa ketika berkelah atau makanan yang dihidangkan oleh tukang masak rest house atau banglo-banglo itu sendiri. Semakin hari semakin popular Morib sebagai tempat berehat bersama keluarga di hujung minggu. Namun ramai juga terutama kanak-kanak yang menjadi mangsa lemas walaupun pantai Morib landai dan airnya tidak dalam.

Bercerita tentang keadaan pantai Morib, memang pantai ini memang cetek dan landai terutama ketika air surut. Air surutnya jauh sehingga hampir 1km ke tengah laut, tetapi di sini banyak beting pasir yang merupakan penimbunan pasir yang merentangi sesebuah teluk. Beting pasir terbentuk sama ada selari dengan garisan pantai atau bersudut tepat dengannya . Bahayanya beting pasir kepada para pengunjung pantai yang bermandi manda ketika air surut. Tanpa mereka sedari, ketika air mula pasang,  mereka terperangkap di beting pasir sedangkan air sudah mula pasang ke pantai walaupun kedalaman air antara beting dan pantai kira-kira3 hingga 6 kaki. Namun, bagi kanak-kanak dan orang yang tidak pandai berenang, hal ini boleh membahayakan nyawa kerana jarak beting pasir dengan pantai kira-kira 200 hingga 400 meter. Tambahan pula, arus laut ketika itu kuat.

Walaupun begitu, pengunjung ke pantai ini tetap ramai terutama ketika ada pesta air atau pasar ria yang diadakan sempena kunjungan DYMM Sultan Selangor ke daerah Kuala Langat. Sebagai contoh, pada 25 September 1934, telah diadakan pameran pertanian dan kraftangan di pantai Morib. Ribuan orang kampung keluar beramai-ramai  menyambut kehadiran baginda Sultan Selangor turun bersama rakyat. Mereka berpeluang menaiki 4 buah kapal terbang Moth kepunyaan Kelab Penerbangan Kuala Lumpur. Bayaran sebanyak  $2 seorang untuk terbang mengelilingi Morib. Sambutan yang diberi begitu hebat. Keempat-empat buah kapal terbang ini  bergilir-gilir berlepas dan mendarat semula atas pasir pantai sehinggalah air laut mula pasang. Pada sebelah petangnya pula, perlawanann bola  sepak dan hoki persahabatan diadakan di padang berdekatan. Di sebelah malam, joget ronggeng, wayang bangsawan, wayang kulit serta  nyanyian berterusan sehingga  ke larut malam.

Ketika Perang Dunia Kedua , pihak tentera Jepun telah menjadikan Morib sebagai  markas kem mereka. Hahahaha….pasti korang terkejut beruk kalau aku katakan mereka juga telah membina sebuah landasan terbang untuk operasi kapal terbang Zero mereka di Ladang Kelanang, tidak jauh dari Simpang Morib. Sebenarnya mereka tidak berminat untuk membina pengkalan tentera udara mereka di situ, cukup hanya beberapa buah berek dan hangar untuk satu dua kapal terbang mereka. Lokasinya yang tersorok kira-kira 1km dari jalan raya Kelanang-Simpang Morib dan Kg. Sungai Arak dan dikelilingi pokok kelapa, memang strategik dan ada unsur kejutan kepada pengintip tentera Berikat. Landasan sejauh satu batu setengah ini penting untuk kawalan dan tinjauan udara di pesisir pantai antara Pelabuhan Klang dan Port Dickson, dan sebagai bantuan sokongan kepada markas tentera darat mereka di pantai Morib. Sejujurnya, aku rasa TUDM Jugra patut membina landasan udaranya di tempat yang sama, bagi tujuan yang sama. Mungkin zaman dah berubah. Dengan kecanggihan radar dan satelit kini, hal ini dah tak penting lagi, kot? Oklah…kita teruskan lagi kisah Jepun ini. 3 tahun 8 bulan lamanya Jepun menjadi tuan baharu kepada rakyat Malaya terutama orang-orang Melayu. Dah ramai dah orang yang kena penampar Jepun, minum air sabun sampai kembung,dan hilang kepala disamurai dek Jepun dalam tempoh tersebut. Mereka dah jelak makan ubi kayu.Mereka rindukan nasi. Hinggalah pada satu malam….
Peta Topografi menunjukkan Lapangan Udara Tentera Jepun di Kelanang
 pada tahun 1945

Pemandangan tapak Bekas Lapangan Udara tersebut pada tahun 2015

Pada ketika jam menunjukkan pukul 3 pagi waktu Colombo,Sri Lanka, ratusan buah kapal perang dan kenderaan mendarat pihak Berikat dengan kekuatan lebih daripada 100,00 orang berlabuh di perairan Pelabuhan Swettenham, Morib, Bagan Lalang, dan Port Dickson. Ketika itu air mula pasang. D-Day untuk Malaya telah bermula.

Three different landing zones were selected. 25th Division will landed on Morib Beach, 37th Brigade will get to the Bagan Lalang Beach, 10 miles south Morib and 23rd Division will scattered on Port Dickson beach. The SS Dunera arrived off Morib Beach on the 9th according to the log of my father's RAF squadron - the 89th Squadron. They also transferred to LCIs and then another transfer to smaller landing craft before wading ashore on the afternoon of the 9th. They set off on a 10 mile march to a transit camp at Telok Datok, same one as the 3210 I expect. But it was too late in the day and so they were ordered to bivouac. It was so dark they couldn't see where they were setting up their tents. Unfortunately, some erected their tents on a dry river bed which, unbeknown to them, was subject to flash flooding. They woke up during the night in several inches of water! Overnight monsoon rains thoroughly soaked them and all their kit. When they arrived at Telok Datok, which was no more than a collection of huts, it took two days to dry out!
Pelan Serangan Operation Zipper 1945


Boarding a Landing Ship Tank from SS Chitral for landing at Morib, Malaya, September 1945.





Seaborne landings made by the 7th and 12th Parachute Battalions on the Morib beaches, 1945

Members of 12 Para Bn landing at Morib Beach, Malaysia, September 1945.
Members of the 12th Para Bn march off having landed
 at Morib Beach, Malaya, September 1945.
Batu Peringatan Operation Zippper di pantai Morib
Mereka menjangkakan tentangan hebat daripada pihak Jepun di Morib tetapi memandangkan Hiroshima telah dibom atom pada pertengahan Bulan Ogos tahun 1945, Berikutan peristiwa itu, Jepun telah menyerah kalah,Operation Zipper dibatalkan dan kini Operation Tiderace dilancarkan pada 9 September 1945, dengan  bala tentera yang sama dalam Operation Zipper. Pengambilan landasan udara Kelanang dilakukan sebelum pendaratan tentera di Morib. Pihak Jepun seolah-olah telah mengetahui hal ini dan menyerahkannya kepada tentera udara British. Beberapa buah kapal terbang Zero milik Jepun masih kelihatan di landasan ketika Tentera Udara Berikat mendarat:

Arriving, we flew a wide circuit around the field, looking for any obstructions on the runway. Nothing was seen so we did a low level, line astern pass along the runway, peeled off and came in for landing. We all landed safely and as we ran to the end of the runway, we looked around for any of our troops that were supposed to be there.. At the end of the runway, we turned around and on instructions from the Wingco, kept our engines running and await developments. Sure enough, what appeared to be hundreds of soldiers came marching down the runway towards us. Unfortunately, it was the wrong army. Our "greeters" were all Japanese.The Wingco told us to remain in our planes. He switched off climbed out and walked towards the advancing troops led by several officers. One drew his sword and for a brief moment we suspected the worst, but he offered it to the Wingco who signalled us to switch off. We then organised the soldiers to manhandle the aircraft off the runway to clear the way for the next wave of six aircraft from the "Trumpeter" to land...We were then driven off to the Jap Officers Mess which we appropriated for our use. 
Gambar penyerahan dan Perletakan Senjata oleh Tentera Jepun 1945
(lokasi tidak diketahui sama ada di Kelanang Airfield atau di Kuala Lumpur)
Tiada tentangan daripada pihak Jepun di situ kerana mereka telah pun bergerak ke Kuala Lumpur untuk upacara penyerahan senjata tanda mengaku kalah kepada pihak Berikat. Tentera Jepun sudah mula menyerah di Penang dan Singapura. Walaupun tak mendapat tentangan,  operasi sebesar ini menjadi masalah kerana pantai berlumpur Morib. Lebih 300 buah kenderaan tentera tersadai di pantai Morib kerana terkandas di beting-beting pasir dan ditinggalkan begitu sahaja sehinggalah pada tahun 1948, seorang kontraktor membeli kesemua bangkai kenderaan yang dah berkarat tersebut untuk dijual sebagai besi buruk. Penyerahan Senjata oleh Tentera Jepun di Malaya dilakukan oleh  Lieutenant General Ishiguro kepada Lieutenant General Roberts (XXXIV Corps) pada 13 September di Kuala Lumpur.
Penyerahan Tentera Jepun pada tahun 1945 di Kuala Lumpur

Selepas perang tamat, pada tahun 1952, kem tentera Jepun di Morib itu ditukar menjadi kem untuk keluarga dan tahanan komunis ketika Era Darurat. Kem ini dijadikan pusat rehabilitasi anak dan keluarga  dan bekas pengganas komunis sebelum dihantar pulang ke Negara China. Berkeluasan seluas 32 ekar, kem depan pantai ini mampu menampung 300-500 orang keluarga pengganas pada satu-satu masa .
Peta -peta dibawah merupakan peta intipan Tentera Berikat terhadap kedudukan -kedudukan tentera Imperial Japanese Army di Morib sebelum pendaratan mereka untuk membebaskan Malaya dan Singapura pada tahun 1945.






 Dalam setahun , lebih kurang 4000 orang diproses di kem ini. Bangunannya terdiri daripada bekas berek tentera jepun, 3 bangunan baru dan dewan makanTerdapat padang permainan untuk kanak-kanak. Juga, 2 matron dan 3 orang pembantu hospital untuk menjaga kesihatan mereka sehinggalah seluruh daerah Kuala Langat, Klang dan Kuala Selangor diisytihar ‘kawasan putih’ pada 4 Disember, 1954. Selepas tarikh itu, kem ini dihuni pula oleh keluarga pengganas berketurunan Melayu.
keadaan kanak-kanak di Kem Rehabilitasi Morib
Pembangunan Morib terus berlangsung. Pada tahun 1958, sanatorium baru untuk penghidap Batuk Kering (T.B) dibina di Morib. Pada tahun berikutnya, Masjid  baru Morib bernilai $60,000 dibina.
Pada tahun-tahun 1960-an dan sehinggalah pertengahan 70-an, Morib terus  menjadi destinasi pengunjung, bukan hanya untuk bersantai dan bermandi manda, tetapi juga untuk mandi tolak bala. Mereka ke Morib naik bas, lori, kereta dan apa jua cara untuk Mandi safar…Ritual agama persis Hindu mandi di sungai Ganges, sesuatu amalan yang agak pelik dan berunsur khurafat. Seramai 15,000 orang berkunjung ke Morib..ada yang berkhemah di sana. Seawal jam 11 pagi pantai Morib sejauh 2 batu sudah penuh dengan pengunjung.  Pada sebelah paginya,sebelum mereka turun ke laut, mereka minum air jampi dahulu, ayat quran ditulis atas kertas yang kemudiannya direndam di dalam air putih.

Kemudian berduyun-duyun mereka turun mandi laut  untuk membersihkan diri dari dosa dan bala. Ketika Mak bapak mandi, anak-anak remaja mencari peluang berkenal-kenalan. Yang menghairankan lagi pelik bin ajaib, orang pejabat agama, tak berbunyi langsung seolah-olah merestui upacara khurafat sebegini. .Ada juga yang datang mandi Safar untuk tolak bala tetapi bala yang menimpa mereka ketika di sana. Ada yang dihempap dahan patah dan terpaksa dikejarkan ke hospital.  Sesetengah ahli masyarakat mempersoalkan mandi Safar di pantai, kenapa tidak di rumah masing-masing, mandi  yang bercampur program maksiat seperti persembahan pancaragam, mengapa berpesta sedangkan akhir bulan Safar adalah ketika Rasulullah SAW sedang gering, seolah-olah kita bergembira ketika seluruh umat islam di seluruh dunia dalam keadaan sedih atas keadaan kesihatan  Junjungan kita itu?

Sambutan mandi Safar di Morib  mula berkurangan berikutan ramai yang sudah mula mengerti ajaran agama Islam yang sebenar terutama pada tahun-tahun lewat 70-an berikutan pendakwahan oleh  Al Arqam dan gerakan Islam sedunia.  Namun, program kemasyarakatan berbentuk hiburan dan sukan rekreasi tetap diteruskan. Mungkin bertujuan menggantikan niat untuk mandi Safar yang sudah bersebati dalam amalan hidup Melayu ketika itu. Acara sukan laut seperti belayar layar sabang, panjat tiang licin berminyak pukul bantal, berenang pelbagai gaya, kejar itik,berlari dalam air, lumba sampan motor sangkut,  lumba berdayung  sejauh2 batu, lumba basikal atas pasir, bina badan, pertandingan bolasepak pakaian beragam, pertunjukan pencak silat, Pameran kraftangan daripada orang asli, orang buta  penghuni Sanatorium batuk kering Morib, Pertandingan sepak takraw  antara kampung di Kuala Langat, pertunjukan kebudayaan antara kaum dan pertandingan pancaragam. Hadiah-hadiah berupa wang tunai, basikal dan radio transistor diberi.
Pertandingan Memanjat Tiang Licin
Pada suatu hari dalam tahun 1972, seekor ikan paus sebesar kapal kecil, berukuran 55 kaki panjang, seberat 9 tan,berukur lilit 20 kaki dan tinggi 12 kaki terdampar dekat Tanjung Pecah berhampiran Morib,  dijumpai tersadai di celah pokok-pokok bakau. Bau busuk bangkai tersebut menarik perhatian orang ramai sejauh KL. Kerja-kerja memusnahkan bangkai ini pada mulanya dibakar tetapi apabila air pasang masalah mula timbul. Akhirnya keputusan diambil untuk meletupkan bangkai tersebut menggunakan dinamit.




Masa terus berlalu. Kedamaian Morib sekali lagi dikejutkan dengan kes kejadian lemas pendatang asing Indonesia yang lemas. Di kawasan beting pasir di Morib, Selangor inilah , negara tiba-tiba digemparkan dengan malapetaka lemas terburuk yang melibatkan kira-kira 120 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia  pada bulan Julai 1993. lebih daripada 29 orang menemui ajal mereka di pantai ini. Mereka dikebumikan beramai-ramai di perkuburan Orang Islam Banting berhampiran Ladang Sungai Buaya.

Kes Mati Lemas PATI Indonesia di Pantai Morib 1993

Kemudian berita paling menggemparkan negara berlaku di Morib. Datuk Sosilawati Lawiya, seorangjutawan kosmetik Malaysia berketurunan Melayu. Beliau dibunuh dengan kejam bersama-sama tiga rakan yang lain di Morib, Selangor. Anak perempuannya, Erni Erinawati Sofea Bukhari adalah antara orang terakhir yang dihubunginya.  Berita kematian Datuk Sosilawati yang beberapa hari dilaporkan hilang mula tersebar di laman sosial Twitter. Berita rasmi kemudiannya dikeluarkan oleh Bernama, Kosmo dan Utusan. Menurut Utusan, keempat-empat mayat dan salah satu daripadanya mayat Datuk Sosilawati ditemui di pantai Morib. Kesemua mereka dibunuh kejam sebelum dibuang dan dibakar di ladang ternakan ayam dekat Tanjung Layang, Morib. Abu mayat-mayat mereka dibuang ke pantai ini.

Kes Pembunuhan 4 orang termasuk Datuk Sosilawati
 di Morib pada tahun 2010

Aku berharap moga-moga itulah kisah tragis terakhir yang berlaku di pantai Morib buat selama-lamanya. Biarlah Morib dan pantainya menghiburkan jiwa insan-insan yang dahagakan kedamaian dan ketenangan untuk terus beramal ibadat buat Allah yang Maha Esa, bukan tempat pembuangan jenazah manusia yang pergi menghadap Allah yang Maha Esa dalam keadaan yang paling menyayat hati dan perasaan keluarga tercinta. Aku juga mengharapkan agar pihak berkuasa tempatan MPKLgt terus mengekalkan keindahan dan kebersihan pantai ini. Tidak perlulah lagi diberi kelulusan untuk pembinaan hotel dan resort percutian. Cukuplah apa yang ada sekarang. Biarlah Morib sendirian dengan kedamaiannya.

Rujukan:
http://www.paradata.org.uk/images/seaborne-landings-made-7th-and-12th-parachute-battalions-morib-beaches-1945
http://www.alternatehistory.com/discussion/showthread.php?t=145742&page=5

Jumaat, 12 Disember 2014

Dari TPG ke Jeddah: Kehidupan di atas Kapal Haji

Salam buat semua. Sekali lagi aku ingin ucapkan terima kasih atas minat korang terhadap entri-entri aku dalam blog ini. FYI, blog aku ini bukan rekaan. Aku tulis berdasarkan pengalaman, pengamatan, kajian aku dalam mengharungi kehidupan di TPG sepanjang hidup aku. So, jangan risau, cerita yang aku tulis ini benar-benar berlaku, bukan cobaan.....HAHAHA.   Jom kita sambung cerita semalam pasal pengalaman datuk nenek dan orang kampung kita semasa belayar ke tanah suci..Jom

Keadaan Dalam Kapal Haji

Perjalanan ke tanah suci pada masa dahulu tidak semudah dan seselesa hari ini. Pelayaran selama 21 hari dengan kapal wap dan 16 hari dengan kapal diesel ini sememangnya berisiko. Kebanyakan jemaah yang menaiki kapal laut pernah mengalami pelbagai pengalaman pahit, termasuk dilanda ribut taufan. Malah, ada kapal laut yang terbakar ketika dalam pelayaran di tengah samudera. Dalam perjalanan selama berbulan-bulan ke Makkah dan balik, ada jemaah yang uzur atau meninggal dunia di atas kapal.  Namun, semua itu dianggap sebagai dugaan dan ujian Allah.
Sebelum 1900, tidak ada sebarang peraturan pelayaran dikenakan ke atas kapal-kapal ini. Kapal-kapal dagang ini tidak dibina untuk membawa penumpang dalam jumlah yang ramai (melebihi 1000 orang setiap kali pelayaran). Tidak ada ‘ medical inspection’, ruang tidur yang begitu terhad (ruang seluas 16 kaki padu seorang), penumpang terdedah kepada panas dan hujan serta ribut (walaupun khemah kanvas dipasang),kepayahan untuk memasak ketika ribut,  dan ada di antara mereka terhumban ke laut ketika laut bergelora. Mereka berserah dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah Taala atas untung nasib mereka


Kemudian mulai tahun 1900, barulah kerajaan British dan Belanda mengadakan peraturan (mematuhi Konvensyen Maritim Antarabangsa), khusus untuk kapal-kapal ini dalam urusan mengendalikan Jemaah haji. Setiap kapal tertakluk untuk mematuhi segala peraturan pelabuhan termasuklah saiz  dan kapasiti kapal. Bilangan Jemaah dikurangkan daripada 1000 kepada  500 orang sahaja dalam setiap pelayaran demi keselesaan dan keselamatan kapal dan penumpang. Pihak perkapalan mesti menyediakan hospital sementara dalam kapal, lengkap dengan wad dan juga pasukan perubatan mereka sendiri termasuk minimum seorang doktor bertugas. Semua Jemaah disuruh menjalani pemeriksaan doktor.Semua kes demam akan dilaporkan kepada pihak pelabuhan. Terpulang kepada pihak berkuasa pelabuhan sama ada untuk mengenakan perintah kuarantin atau tidak. Bagi Jemaah wanita dan wanita mengandung, mereka diperiksa oleh jururawat dan bidan berbangsa Melayu yang telah lebih 10 tahun pengalaman bekerja di atas kapal haji.

Setelah kapal bertolak, mereka semua duduk di atas dek. Kesemua barangan mereka diletakkan ditengah- tengah dek kapal .Keadaan di atas dek kapal memang sesak. Di atas dek inilah mereka baring, duduk, berzikir, menunaikan solat berjemaah,dan tidur. Untuk sedikit privasi (mungkin juga kerana ada Jemaah wanita),  mereka memasang kain langsir. Mereka membentangkan tikar dan permaidani  masing-masing yang disempadani dengan beg-beg kecil mereka dan tali yang diikat untuk menyidai pakaian mereka. Mereka berbual-bual dan berkenalan.Mereka tidur beralaskan karpet atau tikar. 


Sekiranya berlaku kematian di atas kapal, jenazah akan dikebumikan di laut dengan penuh penghormatan diiringi bacaan ayat2 suci Alquran. Pada tahun 1897, ramai Jemaah tua meninggal dunia. Bagaimanapun, rekod sebenar mengenai kematian itu sukar diperoleh. Dianggarkan 30% kematian para Jemaah melibatkan warga emas, berlaku ketika dalam pelayaran.

Antara sebab-sebab kematian berpunca daripada terjatuh, keletihan kerana terpaksa turun naik tangga untuk mengambil air,minum,makan dan terpaksa beratur panjang dan menunggu lama  untuk mandi , ruang tidur sempit kerana beg terlalu banyak.70% selebihnya akibat keadaan iklim dan kehidupan yang ekstrem di Saudi Arabia dan di tanah haram.

Walaupun ramai yang mabuk laut kerana inilah kali pertama mereka menaiki kapal atau berada di laut dalam jangka masa yang agak lama, tetapi rata-rata Jemaah bersemangat tinggi. Rutin seharian mereka ketika dalam pelayaran ini hanyalah sebagaimana kebiasaan mereka lakukan, makan,minum, merokok,makan sirih, solat, mengaji dan berbual. Setiap hari soalan yang sama mereka tanyakan, Berapa lamakah lagi untuk sampai ke Jeddah?

Memandangkan kapal ini kapal kargo milik bukan Islam, Jemaah perlu memasak makanan mereka sendiri dengan bekalan yang dibawa. Di sepanjang rel dek paling atas, ditempatkan ruang untuk memasak. Kayu dan air disediakan manakala Jemaah perlu memasak sendiri di ruang yang disediakan. Peralatan memasak seperti cerek enamel, dapur masak minyak tanah mereka bawa sendiri. Tatkala ribut melanda, mereka masuk berlindung ke dalam kabin,dan terpaksa berlapar sepanjang pelayaran bergelora itu.


Kemudian, dengan sedikit kenaikan tambang perjalanan, pihak perkapalan bertanggung jawab menyediakan makan minum para Jemaah. Tukang-tukang masak Melayu diupah untuk menyediakan makanan dan minuman. Untuk memudahkan pengurusan sajian makanan, mereka dibahagi-bahagikan kepada beberapa kumpulan dan tempat ketika makanan disediakan. Setiap Jemaah,  tanpa mengira usia, diperuntukkan  1  1/10 gelen air minuman bersih sehari dan makanan dihidangkan pada masa-masa yang ditetapkan di bawah pengawasan anak kapal. Menu makanan yang dihidangkan seperti telur itik masin,ikan kering, nasi, sayur awet, cili dan bawang, cuka minyak kelapa dan kicap. Teh dan kopi juga disediakan sebagai minuman. Tukang masak ditempatkan di setiap tempat tersebut untuk menyediakan makanan 2 x sehari, pagi dan petang. Pada tahun 1953, pihak kapal haji membawa bersama kambing biri-biri hidup untuk  dijadikan makanan semasa dalam pelayaran.  Air untuk mandi dan berwuduk disediakan sebagai  air tambahan. Rata-rata para Jemaah berpuas hati dengan menu dan makanan kecuali sungutan kecil yang mengatakan beras Brazil yang ditanak tidak sedap, mohon ditukar kepada beras Siam. Kantin  di dalam kapal juga menjual keperluan jemaah termasuk minuman dan makanan untuk memenuhi kehendak dan selera penumpang di antara  sela masa makanan dihidangkan.

Keratan Akhbar  tahun 1927


Keratan Akhbar 1938
Keratan Akhbar Tahun 1949
Keadaan dalam  kapal haji
keadaan dalam kapal haji 2
keadaan dalam kapal haji 3


Mereka terus menghitung hari dan ketika terlihat daratan mereka bersorak kegembiraan, petanda mereka menghampiri Jeddah. Setelah 16-21 hari di laut, akhirnya mereka tiba di Pulau Kamaran, dan sekiranya tiada wabak yang menular, mereka akan meneruskan perjalanan ke Jeddah. Sebelum tahun 1930,sekiranya berlaku kes, wabak penyakit menular di atas kapal, mereka akan dikuarantin di sini selama  5 hari manakala kapal dari India 10 hari. Dilaporkan pada tahun 1939, bayaran cukai kuarantin wajib dibayar dalam bentuk emas. Sampai sahaja kapal haji di Jeddah, semua  Jemaah haji diminta turun dan menaiki tongkang kerana kesesakan di pelabuhan Jeddah tidak dibina dermaga secukupnya untuk kapal rapat ke pelabuhan.Pada tahun 1921, dilaporkan Jemaah terpaksa membawa  turun sebanyak mungkin air dari kapal mereka kerana berlaku krisis air di Jeddah.

Insya Allah..kita sambung nanti deh...Assalamualaikkum. 

Rujukan:
http://www.merchantnavyofficers.com/hadj.html
http://english.ahram.org.eg/News/115775.aspx

Khamis, 11 Disember 2014

Kisah Pelayaran Kapal Haji di Port Swettenham

Salam buat semua. Harap semua dalam keredaan Allah hendaknya. Seperti yang korang maklum, entri aku yang lepas, cerita pasal pengorbanan para tetamu Allah menyiapkan diri menyahut panggilan Kaabah. Semestinya kita umat Islam, wajib menyimpan niat untuk menunaikan rukun Islam kelima ini sekiranya kita mampu. Apa-apa pun niat itu penting. Soal mampu atau tidak, bila dan bagaimana kita serahkan pada Allah. InsyaAllah, InsyaAllah, InsyaAllah.. you'll find a way. Teringat aku lagu nyanyian Maher Zain yang meletop satu masa dulu. Awas, jangan sesekali kita memandang enteng soal niat ini kerana Allah SWT telah memberi amaran dan peringatan kepada mereka yang enggan mengerjakan haji sedangkan dia telah cukup mampu daripada segala segi sebagaimana hadis di bawah ;
عَنْ عَلِيٍّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ مَلَكَ زَادًا وَرَاحِلَةً تُبَلِّغُهُ إِلَى بَيْتِ اللَّهِ وَلَمْ يَحُجَّ فَلَا عَلَيْهِ أَنْ يَمُوتَ يَهُودِيًّا أَوْ نَصْرَانِيًّا وَذَلِكَ أَنَّ اللَّهَ يَقُولُ فِي كِتَابِهِ
{ وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنْ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا }
Dari Ali, Rasulullah SAW telah bersabda : Sesiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi tidak mahu mengerjakan haji, maka bolehlah dia memilih untuk mati secara Yahudi atau Nasrani ini kerana  Allah telah berfirman dalam kitabnya .... { وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنْ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا }     Riwayat Turmizi.
Jadi, sebagai orang Islam sedaya upayalah kita berikhtiar untuk memenuhi tuntutan agama ini. Entri aku kali ini menyambung kisah pelayaran datuk nenek kita di TPG, Malaya dan merata tempat di nusantara ini menunaikan rukun Islam kelima ini dengan penuh kepayahan dan tawaduk (rendah diri) terhadap Allah SWT sehingga mereka dapat merasa kemanisan iman dalam ibadat dan kehidupan mereka sehingga dijemput pulang oleh Allah.
 Cara mengumpul wang untuk ke Mekah
Sesungguhnya menunaikan haji merupakan rukun Islam kelima bagi mereka yang mampu. Mampu menurut tafsiran ulama bererti mampu dan berupaya dari segi fizikal, sihat tubuh badan, tiada halangan dalam perjalanan ,keselamatan terjamin, serta yang paling utama kemampuan kewangan. Maknanya, mereka sudah menyediakan perbelanjaan seharian untuk diri dan keluarga yang ditinggalkan di kampong semasa mereka di tanah suci. Namun, bagi mereka  yang telah  bertekad untuk ke tanah suci, wang ringgit bukan masalah utama bagi mereka. Mereka bertawakal kepada Allah atas seluruh kehidupan mereka ,sama ada sebelum ke Mekah atau selepas kembali mereka ke kampong.  Walaupun mungkin kewajipan itu belum tertuntut atas mereka, namun keimanan yang tinggi mengatasi segalanya. Menjadi tetamu Allah itulah impian mereka. Dengan niat suci itu, ada di antara mereka yang menjual tanah pusaka sekangkang kera di kampong untuk membiayai perjalanan suci mereka. Seluruh anggota keluarga, baik besar kecl tua dan muda dibawa bersama. Biarlah Allah yang menentukan nasib mereka kemudian. Sesungguhnya, Allah telah menetapkan ajal, maut,rezeki, dan jodoh setiap makhlukNya dan Allahlah sebaik-baik pentadbir.

Pernah aku terbaca kisah Orang-orang Jawa  yang sanggup bekerja secara kontrak di Johor dan lain-lain tempat di Tanah Melayu kerana dijanjikan ibadah haji selepas tamat kontrak. Mereka, seperti juga pendatang Indonesia kini, bertekad mengumpul sebanyak mungkin wang ringgit sebelum mereka pulang ke kampong halaman di Pulau Jawa. Ada sesetengah daripada mereka menggunakan duit simpanan kerja mereka sebagai tambang  seluruh keluarga mereka untuk ke Mekah. Sebenarnya visi mereka selepas pulang dari Mekah nanti mereka akan berhijrah ke Malaya bagi membuka petempatan baru di Johor dan Selangor. Penjualan tanah pusaka di kampung halaman itu boleh digunakan untuk modal untuk memulakan kehidupan baru ketika berhijrah nanti.

Namun, bagi majoriti jemaah haji, mereka menabung siang dan malam dengan  pekerjaan yang biasa mereka lakukan. Biarpun mengambil masa yang lama, bahkan ada yang telah menyimpan sejak puluhan tahun, sedikit demi sedikit, untuk ke Mekah. Mereka merancang pemergian mereka kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa termasuk anak-anak, sekembalinya mereka dari tanah suci nanti. Lagipun, mulai 1948, banyak badan agama negeri-negeri di Malaya mensyaratkan Jemaah tidak dibenarkan ke mekah jika tidak memenuhi  syarat seperti yang ditetapkan. Untuk itu, bakal haji perlu mendapatkan pengesahan Pegawai Daerah di tempat masing-masing. Mereka mesti mempunyai wang yang secukup nya untuk menampung  semua urusan ke Mekah, DAN mesti juga cukup  wang untuk menyara tanggungan di kampung. Mereka juga tidak dibenarkan menjual atau menggadai tanah untuk ke Tanah Suci. Tapi kenapa diletakkan syarat sedemikian rupa ?

Sebabnya, mengikut kajian sosiobudaya, masyarakat Melayu sebelum 1951 menjalani 3 peringkat kehidupan; Bina rumah, kahwinkan anak, kemudian baru ke Mekah untuk naik haji. Kebiasaan orang Melayu masa itu mengambil jalan mudah, jual tanah pusaka untuk kahwinkan anak-anak, kemudian selepas itu mereka jual lagi tanah buat tambang ke Mekah. Sekembali mereka dari Mekah, masalah bermula. Mereka hidup merempat, terpaksa mengharapkan belas ehsan saudara mara, menumpang tanah untuk tapak rumah. Mereka terpaksa memulakan penghidupan baru yang memeritkan sedangkan usia mereka semakin lanjut. Sememangnya pergi ke Mekah itu diraikan tetapi bagi yang MAMPU., Apalah ertinya  kalau hidup masih miskin apatah lagi papa kedana setelah pulang?

Maka ditunjukkan jalannya oleh Ungku Abdul Aziz, seorang pensyarah (kini bergelar professor) Ekonomi di Universiti Malaya. Beliau menyarankan agar diwujudkan kaedah menabung menggunakan setem untuk  menunaikan haji. Caranya, penyimpan perlu membeli setem  bernilai 50sen-$100 di pejabat-pejabat pos yang berhampiran tempat tinggal mereka. Mereka kemudiannya akan diberi buku setem dan setem-setem tersebut hendaklah ditampalkan kedalam buku tersebut dan disimpan di rumah masing-masing. Kalau penyimpan mengumpul setem bernilai $4 sebulan, ditambah dengan pemberian bonus 3% setahun oleh pihak pejabat pos, mereka memerlukan simpanan selama 22 tahun untuk cukup sebagai tambang haji keseluruhannya. ( Pada tahun 1959, minimum $1500 diperlukan untuk ke Mekah). Kalau $100 sebulan pula, cukup 13 tahun penyimpanan, bolehlah mereka menghantar kesemua buku setem tersebut  ke RIDA (MARA) sebelum dihantar kepada  Lembaga Perusahaan Tabung Haji (Muslim Pilgrimage Savings Fund Board) untuk pengurusan perjalanan ke Mekah. Biasanya, bakal-bakal haji ini diberi notis 12 bulan untuk bersedia ke Mekah.

Ada juga sebahagian jemaah yang pergi sebagai pengiring, tukang masak, juru pandu, dipilih atau dibantu oleh badan amal. Mereka mengambil peluang bekerja di dalam kapal haji, sambil itu terus ke Mekah menunaikan kewajipan mereka. Apapun sebab dan caranya, mereka sudah bertekad untuk menunaikan haji, seterusnya menyimpan wang dan membeli tiket pelayaran untuk menebus dosa-dosa mereka dan menjadi tetamu Allah, suatu penghormatan tertinggi daripada Allah kepada makhlukNya, antara jutaan manusia yang bernafas di bumi. Maka, akan bermulalah satu pelayaran terpenting dalam sejarah hidup bakal haji tersebut.

"Labayk Allah Humma Labbyk, Labbaykka La Syarikalak Labbayk, Innal Hamda Wa al- Ni'mata Laka wa al-Mulk, La Syarikalak”

"Aku sambut panggilanMu, Ya Allah. Aku sambut perintahMu. Aku sambut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji, nikmat dan seluruh kekuasaan adalah milikMu sendiri. Tiada sekutu bagiMu."

Persediaan Terakhir Sebelum ke Mekah
Walaupun mereka telah bersedia, mereka tetap perlu menyediakan pasport dan kebenaran kerajaan sebelum bertolak. Kemudian, Jemaah perlu mendapatkan pas haji dengan bayaran $1, mendapatkan suntikan vaksin. Jemaah perlu pergi melalui broker haji yang akan menguruskan pengangkutan, tempat tinggal masing-masing  ketika di dalam kapal haji, biasanya kapal kargo.

Selalunya, bakal haji perlu memastikan keperluan anak isterinya yang tinggal di kampung ketika musim haji cukup keperluan mereka. Namun, kesemua itu tidak penting kerana masyarakat mereka akan memastikan makan minum anak-anak bakal haji terjamin dan mencukupi. Seperti yang diceritakan tadi,biasanya bakal calon haji akan menjual sebidang tanah mereka untuk menampung perbelanjaan mereka dan anak-anak di sana. Pakaian mereka akan dimasukkan ke dalam beg kotak yang kuat untuk diikat di atas unta nanti. Periuk belanga juga dibawa berserta tikar dan permaidani.Wang tunai dan barang kemas dimasukkan ke dalam tali pinggang dan diikat di pinggang, tiket dan pasport dimasukkan ke dalam  bekas tin dan disandang di bahu. Sandal dipakai dan dibawa untuk menahan kepanasan mentari padang pasir. Kemudian mereka bertolak dari kampung halaman masing-masing menuju ke pelabuhan dengan apa cara pengangkutan yang termampu dan dapat disediakan.


Keadaan di Pelabuhan


Seawal 7.00 pagi lagi,sanak saudara yang mengiringi bakal haji ke pelabuhan,mencurah tiba, bertali arus.Bahkan, ada yang bermalam di pelabuhan. Ketika itu kapal haji sedang berlabuh di dermaga nombor 9 di Pelabuhan  Swettenham. Kapal yang dalam perjalanan dari Singapura ke Jeddah ini  akan singgah di Kuala Klang ini dan Pelabuhan di Pulau Pinang untuk mengambil para Jemaah haji. Mulai tahun 1960, mereka dari Selangor, Negeri Sembilan,  dan Pahang tidak perlu lagi bergerak jauh untuk menaiki kapal haji. 

Maka rombongan ahli keluarga yang menghantar mereka ke pelabuhan-pelabuhan ini bertambah. Semua bekalan dan bagasi dilabelkan, ditulis nama pemiliknya. Suasana di dermaga  bertambah sesak, riuh rendah. Bukan sahaja mereka yang bersama keluarga Jemaah, kaum Cina juga kelihatan di sana untuk berjual kerusi, payung  dan pakaian. Maklumlah, hampir kesemua Jemaah haji ini merupakan penumpang dek, maka kerusi dan payung digunakan untuk duduk,bersandar dan berteduh daripada panas mentari dan hujan.  Pihak perkapalan tidak menyediakan kemudahan ini kerana kapal-kapal ini sememangnya kapal kargo yang disewa khas pada musim haji tanpa sebarang pengubahsuaian.
Setelah semua urusan memunggah naik barangan, tibalah masanya untuk para Jemaah naik ke kapal.  Walaupun jadual pelayaran kapal tersebut bermula jam 3.00 petang, para Jemaah diminta menguruskan sendiri tempat masing-masing di atas dek. Untuk tujuan itu, pihak kapal hanya membenarkan 4 orang ahli keluarga terdekat untuk naik, menghantar barangan. Mereka bersama bakal haji diberi pas berwarna putih untuk naik ke kapal, diiringi tangisan,sorakan, serta doa sanak saudara yang turut menghantar mereka ke pelabuhan. Sebelum kapal mengangkat sauhnya menandakan masa pelayaran akan bermula, suara azan dan doa berkumandang menerusi pembesar suara kapal tersebut. Tepat jam 3.00 petang, kapal mula meninggalkan pelabuhan dan sanak saudara para Jemaah pun mula beransur pulang.

Dari Sisi Gelap Klang Bandar Diraja ......Bahana Pelacuran

Salam buat semua, peminat  serta pembaca  blog Atok ini. Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. Kita masih dalam mode Raya, meraikan sauda...