Khamis, 5 Jun 2014

TPG dalam Tahun 1933: Tapak Asal Kg. Telok Mengkuang

Salam buat semua. Aku harap semuanya berjalan lancar dalam  kehidupan korang, sama ada hal duniawi ataupun hal berkaitan agama. Alhamdulillah. Banyakkanlah bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberiNya buat kita nikmat Islam dan kesihatan untuk kita terus beribadah kepadaNya dan menabur bakti sesama manusia. Sakit pinggang aku tempoh hari dah hilang dah. Aku agak banyak sangat toksik dalam badan aku ni sampai peredaran darah tak berapa  nak lancar. Lagipun masa itu aku baru lepas berbekam. Banyak sangat jarum.Itu pasal ler angin masuk. Lepas aku mandi kat kolam air panas, hilang sakit-sakit pinggang aku. Syukurlah. Korang pun sama. Kalau badan rasa tak berapa nak sedap, pergilah mandi sauna. Keluarkan peluh dan kalau boleh berendam kat kolam air panas. Cari ler kat KL ada, Setapak ataupun kat Hulu Langat. Biar keluar duit lebih sikit tak apa, asalkan badan sihat. Lagipun kita orang lelaki ni pinggang nak pakai lama..HAHAHAHA (Kalau  korang faham maksud aku ler).

Kali ini cerita aku berkisar dekat Telok lapan puluh satu tahun yang lalu.Ya, aku nak bawa korang balik ke zaman arwah bapa dan atuk korang. Yes..kita nak balik ke zaman lampau macam dalam filem“ Back to the Future” itu. Tapi kita tak perlukan alat dan teknologi canggih untuk ke sana. Tak ada transporter untuk  kita masuk, atau stargate untuk kita lalu. Cukup hanya sekeping peta lama dan imaginasi. Nak ikut tak? Dah aku agak dah..Hahaha

Kalau korang tengok peta topografi lama itu bertarikh 1933. Ya, ketika itu  arwah bapa aku pun belum lahir lagi. Yang ada atuk dan nenek korang jer. Bayangkan kehidupan mereka di Telok masa itu. Penjajah British sudah berada di Selangor lebih daripada 59 tahun (sejak 1874). Pembangunan negeri sedang rancak. Residen Inggeris di Selangor masa itu
T.S Adams, manakala sultan yang memerintah atas 'nasihat’ daripada Residen ialah Tuanku Alaeddin Sulaiman Shah ibni al-Marhum Raja Muda Musa. Lantak ler.  Tapi sebelum aku bercerita dan mentafsir dengan panjang lebar tentang peta ini, korang terpaksa aku ‘sekolahkan’ sekali lagi…Hehehe…Ini berkaitan Geografi atau Ilmu Alam kata orang-orang dulu. Kalau tak faham, susahlah aku nak explainkan kat korang. So, dengar,dengar,dengar.

Pertama, peta ini menggambarkan keadaan sebenar pada masa itu di tempat yang dinyatakan. Ini rekod rasmi kerajaan, mana boleh main buat ikut suka jer? Setiap maklumat yang ada memang tepat, bukan andaian. Peta ini memang dilukis mengikut skala.  Setiap satu petak hitam itu melambangkan sebuah kediaman, rumah kekal. Kalau korang rajin, kiralah berapa banyak petak hitam kecil yang ada di Telok. Itulah banyak rumah yang ada sebenarnya ketika itu.  Begitu juga jarak antara tempat-tempat, juga benar kiraannya mengikut skala peta. Korang mungkin tertanya-tanya macam mana mereka boleh dapat data dan maklumat itu setepatnya? Hello brader, pernah dengar tak Jabatan Ukur dan Pemetaan? Itulah kerja diorang, termasuklah mengambil gambar dari udara (aerial photography). Jadi imej fotografi tadi ditukarkan ke dalam bentuk lukisan di peta. Sekarang ni diorang gunakan imej satelit terus.

Berbalik  kita ke Telok. Masa itu penduduk Telok semakin bertambah. Bukan kerana ada Jepun yang melabur dan buka kilang kat Batu 10 macam sekarang, tapi kerana banyak petempatan baru dibuka. Kampung Sijangkang baru 25 tahun diteroka (1907). Ramai peneroka Jawa mula bertapak di situ. Telok bukan lagi milik sepenuhnya Aceh atau Bugis, seperti sebelumnya.

Kini Keling dan Cina mula menjadi anak Telok. Banyak ladang kopi, kelapa dan getah di sekitar Telok. Orang-orang Melayu jati dan Melayu Dagang (Melayu Nusantara yang datang merantau ke Selangor selepas 1874) kini tidak lagi menjadi petani sara diri. Mereka sudah mula mengikut rentak dan kemahuan British menyediakan tanaman makanan dan komersial untuk menampung selera rakus kapitalis di pasaran antarabangsa sedunia. Kopi dan kelapa sememangnya tanaman utama sejak 1880an lagi, tetapi sebagai pekebun kecil (saiz kebun kurang daripada 100 ekar), datuk nenek kita mungkin telah bertindak bijak dengan mempelbagaikan tanaman atas tanah milik mereka. Maklumlah harga pasaran dunia berubah-ubah.

Pada tahun 1890an, antara tahun-tahun 1896-1900, harga kopi telah mengalami kemerosotan di pasaran dunia akibat pengeluaran yang berlebihan. Kopi juga mengalami kemerosotan akibat serangan penyakit kupu-kupu Beehawk. Tuan punya estet beralih kepada tanaman getah . Permintaan yang tinggi terhadap getah telah meningkatkan harga getah. Contohnya pada tahun 1890, harga getah $1.30 sepaun telah meningkat kepada $2.50 sepaun pada tahun 1906. Ketika harga getah melambung ke paras tertinggi pada tahun 1910, iaitu $ 5.50 sepaun pada tahun 1910. mereka beralih pula kepada getah iaitu mereka terkesan dengan keadaan ekonomi dunia masa itu. Namun sebagai pekebun kecil, cara yang terbaik ialah dengan mencampurkan beberapa tanaman komersial ini agar pendapatan seharian mereka berterusan dan tidak merugikan. Di samping itu mereka juga menanam beberapa pokok buah-buahan seperti durian, manggis, rambutan dan sebagainya untuk  anak dan keluarga mereka. Sebab itu di Telok banyak kebun menyulamkan kelapa dan kopi, di samping  pokok buah-buahan dan pokok kelapa di halaman dan di belakang rumah mereka.

Tetapi langit tak selalunya cerah.  Mulai tahun 1929 harga getah di pasaran  jatuh merudum di seluruh dunia. Namun, hidup harus diteruskan juga. Banyak estet terpaksa mengurangkan kadar upah pekerja mereka daripada 40 sen sehari kepada sepuluh sen sahaja. Orang kampong pada masa itu terpaksa  juga mengubah cara hidup mereka. Jika dahulu kaum wanita hanya bekerja dalam rumah, kini mereka terpaksa membantu suami di kebun atau menjual hasil kampung seperti sayur-sayuran, ulam-ulaman dan tempe  di pekan sehari atau pasar-pasar sekitar Telok, Banting dan Klang untuk menambah pendapatan. Mereka mula keluar dari rumah untuk bekerja dan berniaga sejak selepas Subuh sehinggalah selepas Asar baru mereka pulang. Ketika itu tanggung jawab menjaga rumah dan menguruskan adik-adik terletak di atas bahu anak perempuan sulung mereka, tak kiralah berapa umurnya (biasanya 9 tahun ke atas).

Kaum lelaki terpaksa mengambil upah menetak  daun nipah, menjadi nelayan sungai dan mengumpul kayu api. Kaum perempuan pula dengan dibantu anak-anak perempuan, menyemat atap untuk dijual kepada peraih Cina untuk memenuhi kehendak pelombong-pelombong di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Walaupun kehidupan agak perit berbanding pada tahun 1920an, kehidupan mereka masih baik berbanding pekerja estet.

Pola petempatan berselerak dapat dilihat di kawasan kebun- kebun kecil ini manakala pola petempatan berjajar (lurus) wujud di kawasan sepanjang Sungai Langat dan jalan-jalan di Telok, Kampung Medan dan Sijangkang. Kalau dilihat daripada peta ini, ternyata masih ramai yang tinggal berhampiran atau di atas sungai. Sememangnya sungai masih nadi kehidupan mereka. Segala keperluan harian mereka termasuk pengangkutan dan perhubungan ada dan melalui sungai. Walaupun sudah banyak rumah dibina di sepanjang jalan Klang-Jugra dan Klang-Telok Datok, masih terdapat rumah-rumah atas air di Telok Mengkuang dan sepanjang Sungai Langat, dari Beting Tengah hinggalah ke Sungai Rambai. 


Kini, rumah-rumah seperti itu sudah tiada lagi.Begitu juga Kampung Telok Mengkuang yang sudah tidak wujud lagi kini. Justeru, aku mengajak korang menelusuri ( menyusur kembali) sejarah silam Telok. Peta ini merupakan bukti rasmi pernah wujud perkampungan tersebut di situ sebelum tahun 1933. Pemilihan tapak kampung ini sememangnya strategik. Terletak antara dua likuan sungai Langat; di likuan sebelah kiri, lebih hampir ke Telok dan Jugra manakala likuan kanannya lebih dekat dengan Klang dan Kuala Klang atau Port Swettenham ketika itu. Tak perlu menunggu lama kalau bersampan. Ketika itu terdapat lebih daripada 20 buah rumah di kampung itu. Bila dan kenapa Kampung Telok Mengkuang ini ditinggalkan, itu aku tak pasti. Kita (maksud aku korang anak-anak muda Telok) kenalah banyak buat rujukan di internet, Arkib Negara dan Perpustakaan Tun Uda di Shah Alam. Mungkin kalau ada peta topografi Telok yang lain pada tahun-tahun selepas 1933, baru aku berani buat tafsiran yang baru pulak. Lagipun cerita lisan dari mulut orang tua-tua di kampung Telok tentang kewujudan Kg. Telok Mengkuang ini tidak pernah aku dengar. Tak tahulah kalau-kalau atuk nenek korang ada bercerita. Jadi,di sini aku simpulkan, kemungkinan kampung ini tidak wujud lagi di situ  kerana mereka sudah menjual tanah milik mereka kepada pekebun Cina atau mereka telah mendirikan rumah-runah baru mereka di kebun-kebun berhampiran jalan utama di Telok di mana terdapat kedai-kedai runcit dan kemudahan asas seperti bekalan air paip (mulai tahun 1939), serta jalan raya dan klinik kesihatan (Federal Dispensaries) di Batu 1 Sijangkang, Kampung Baru Jenjarom dan Telok Datok.

Korang juga boleh nampak dalam peta ini penerokaan haram hutan Telok Mengkuang (bertanda X) yang dilakukan oleh kaum Cina. Kawasan tengah hutan diteroka dengan tanaman kelapa manakala kawasan tepi sungai dibiarkan hutan, seolah-olah tiada apa-apa penebangan hutan dilakukan. Parit-parit yang dibina oleh mereka pendek-pendek dan tidak lurus. Tiada jalan raya menghubungkan  ‘kebun-kebun’ mereka dengan Kampung Telok Mengkuang. Pengangkutan hanya melalui jalan sungai. Jadi, kawasan ini memang terpencil dan tidak diketahui umum kecuali mereka sahaja. Hanya kawasan tebing sungai Langat sahaja yang dibiarkan berhutan nipah ataupun bakau. Tembelang ini pecah ketika survey ini dijalankan melalui  fotografi udara. Walaupun begitu, pihak Pejabat Tanah Daerah mungkin hanya berdiam diri tanpa apa-apa tindakan diambil kerana telah ‘disogok’ oleh peneroka haram ini. Aku bukan rasis (perkauman) atau prejudis (prasangka) terhadap bangsa pendatang ini, tetapi begitulah hakikatnya!

Hanya ketika zaman darurat sahaja (1948-1960), barulah semua petempatan Cina di Telok Mengkuang ini dipindahkan ke beberapa buah kampung baru di Sungai Jarom dan di Pandamaran atas sebab- sebab keselamatan. Ketika itu kebun-kebun ini terus ditinggalkan begitu sahaja sehinggalah pada tahun 1966, kerajaan menawarkan pembukaan tanah pertanian dan tanah hutan di seluruh Telok Mengkuang. Bund ataupun benteng dibina sepanjang sungai bagi menghalang kemasukan air masin atau ketika air sungai banjir hingga ke tepi tebing.
Maka ramailah orang-orang kampung termasuklah Cina-cina memohon tanah T.O.L lot pertanian masing-masing di situ. Kebun atuk aku terletak bersebelahan kebun Mat Ghani Simpang dan Ah Kaw. Aku rasa kebanyakan pekebun Cina di situ bukan peneroka asal.
Mereka merupakan pembeli tanah-tanah yang dijual oleh orang Melayu ketika itu atas sebab-sebab kewangan yang menghimpit. Masa atuk aku dapat tanah itu memang dah ada pokok kelapa siap ditanam. Maknanya memang telah ditanam sebelum tahun 1933 lagi. Nasib korang ler Ah Pek! Sejak itu, TPG terus maju dan prosperous, kata omputeh. Pokok-pokok kelapa tadi telah ditebang dan digantikan dengan kelapa sawit.

Nama Telok Mengkuang kini diabadikan pada nama jalan utama di persimpangan tiga ke TPG di sekitar Taman Dato' Hormat. Kini kawasan ini telah banyak berubah. Banyak tanah pertanian telah dijadikan tempat penternakan ayam secara komersial. Begitu juga kilang-kilang dibina. Entah siapa yang meluluskan, aku tak tahu. Mungkin polisi kerajaan telah berubah. Status tanah pertanian kini bertukar kepada status pembangunan pelbagai guna.

Mungkin juga kerana suapan mewah daripada towkay-towkay ke mulut pegawai dan kakitangan pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat termasuk di SUK Shah Alam (sejarah rasuah berulang kembali..hihihihi). Aku tak nak menuduh tanpa bukti tapi yang pasti pada tahun 2020 nanti seluruh kawasan Telok Mengkuang akan diwartakan sebagai kawasan perindustrian marin. Sudah pasti harga tanah di situ melambung tinggi, tidak lagi dinilai mengikut ekar tetapi mengikut kaki persegi. Bertuahnya pemilik kebun (termasuk keluarga aku) di situ. Mungkin jadi jutawan segera! HAHAHAHAHAHA….




Jalan Telok Mengkuang di Taman Dato' Hormat


Telok Mengkuang: Pandangan udara dari arah Bukit Jugra

 Telok Mengkuang: Pandangan udara dari arah Sijangkang
Rujukan:
Spirits of Resistance and Capitalist Discipline, Second Edition ... - Aihwa Ong
The Devil's Milk  A Social History of Rubber - John Andrew Tully
The Tamil Migration Cycle 1830 - 1950 -Christophe Z Guilmoto
http://studentsrepo.um.edu.my/491/5/BAB4.pdf

Anda mungkin berminat membaca:

Indeks Halaman Utama
Perkembangan Awal Telok Panglima Garang: 1860 hingga 1910
Pembangunan di Telok 1916-1925
Sungai, Atap Nipah dan Telok
Antara Telok, Telok Mengkuang dan Telok Gong
Telok Panglima Garang: 1887 - 1950: Satu Tafsiran Peta

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dari Sisi Gelap Klang Bandar Diraja ......Bahana Pelacuran

Salam buat semua, peminat  serta pembaca  blog Atok ini. Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. Kita masih dalam mode Raya, meraikan sauda...