Selasa, 14 Oktober 2014

Peranan dan Tugas Penghulu di TPG

Salam buat semua. Apa khabar semua? Sihat dan waras? Harap masih keras ya, wak! Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberi kesempatan mengharungi kehidupan taat beragama di samping teman-teman saudara seagama dunia dan akhirat. Selawat dan salam buat Junjungan Besar Rasulullah S.A.W, Penghulu sekalian nabi dan umat akhir zaman.
Sebut sahaja Penghulu, teringat aku ketika aku masih di bangku sekolah agama sebelah petang di tapak lama Sekolah Ugama Telok Panglima Garang yang ketika itu masih berdinding papan. Kedudukannya bersebelahan dengan rumah Tok Penghulu Hamzah yang dibina kerajaan. Rumah papan berlantai tinggi itulah yang aku kunjungi setiap kali saban tahun ayah menyuruhku mendapatkan tandatangan sokongan dan cop rasmi jawatannya untuk surat-surat pinjaman buku teks atau permohonan biasiswa sekolah aku. Tidak pernah sekali permintaan aku ditolak bahkan aku diminta oleh Tok Penghulu untuk belajar rajin-rajin agar berjaya dalam mengejar cita-citaku bagi membebaskan keluargaku daripada kepompong kemiskinan. Tetapi tak lama kemudian aku dengar beliau telah berpindah ke tempat lain atas arahan tugas. Hidup harus diteruskan.
Jadi, pada kali ini aku ingin buat perbandingan merentas masa dan zaman sejak 1883 sehingga kini peranan seorang Penghulu.

Yang pasti, bidang kuasa Penghulu tidak akan sama seperti pengaruh seorang Penghulu ketika zaman Feudal sebelum campurtangan Inggeris di Selangor pada tahun 1874. Peranan dan Tugas Datuk Penghulu pada tahun 1938 berbeza dengan tanggungjawab Datuk Penghulu dalam Sistem Pentadbiran Tempatan British yang diperkenalkan oleh Residen Inggeris Frank Swettenham pada tahun 1883.Apatah lagi kini, daripada seorang wakil Sultan yangberpengaruh dan berkuasa penuh ke atas mukim dan kutipan hasilnya, kini Penghulu hanyalah seorang penjawat awam biasa yang tertakluk kepada pelbagai arahan tugas mengikut Perintah Am (General Orders) kerajaan.

Daripada seorang pemimpin masyarakat yang membentuk minda dan mentaliti anak-anak buahnya kepada seorang staf kerajaan yang bertanggung jawab menyelaras program-program kerajaan dan menyediakan laporan setiap aktiviti kerajaan di mukimnya, mengecop surat sokongan untuk anak buahnya untuk urusan  yang biasa-biasa. Nasibnya sama seperti kerjaya seorang guru atau pendidik macam aku yang suatu masa dahulu menjadi orang penting penggerak masyarakat tetapi kini kata-katanya tidak diendah oleh segelintir anak murid bahkan menjadi mangsa ugutan ibu bapa yang mana anak-anak mereka dikenakan tindakan disiplin. Apapun tanggapan manusia kini, jasa dan pengorbanan Datok-datok Penghulu ini tetap dikenang walaupun ramai yang telah pergi menemui Ilahi. Moga -moga Allah mencucuri rahmat dan hidayahNya ke atas roh-roh mereka. Semoga damai mereka di sana. Amin.

1883
1.Kelayakan- Akur arahan, berpendidikan, terpilih daripada keluarga berpengaruh (golongan bangsawan@Istana), daya kepimpinan tinggi, mendapat perkenan DYMM Sultan secara bertulis.

2. Tanggungjawab - membantu Magistret Daerah dalam bidang tugasnya mengikut bidang kuasa yang dibenarkan dalam mukim masing-masing.

3. Ganjaran- 10% daripada cukai yang dikutip. Pengecualian cukai ke atas rumah dan tanah yang dimiliki selagi memegang jawatan (Tempoh perkhidmatan tidak ditentukan, bergantung kepada prestasi dan usia)

4. Bidang kuasa dan Skop Tugas -
a) mengutip hasil dan sewa dalam mukimnya bagi pihak Megistret Daerah
b) membantu Megistret Daerah menyelesaikan isu berhubung tanah dalam mukimnya
c) membantu menyelesaikan kes tuntutan kecil tidak melebihi $5 dan menubuhkan Mahkamah Penghulu dengan denda tidak melebihi $10.
d) melaporkan kes jenayah berat kepada pegawai polis di daerahnya
e) menyimpan buku pendaftaran tentang semua penduduk serta harta benda mereka dalam mukimnya
f) memantau segala kemudahan asas kerajaan dimukimnya dan melaporkan sekiranya berlaku kerosakan ke atasnya
g) berbincang dengan anak-anak buahnya tentang keseragaman masa untuk penanaman padi serta
menggalakkan anak-anak buah mukimnya menanam tanaman seperti kelapa, sago dan lain-lain  di tanah mereka
h) memastikan lesen dan peraturan untuk aktiviti menangkap ikan, menebang balak atau membuat kayu arang dipatuhi.
i)  memastikan pesakit  atau ternakan yang sakit dikuarantin sehingga tamat tempoh penularan penyakit serta dilaporkan kepada pegawai yang berkenaan di daerahnya
j)  menerima dan menjalankan semua arahan yang diberikan kepadanya untuk dimaklumkan kepada anak-anak buahnya.
k) mengarahkan semua pemilik tanah di mukimnya meletakkan batu sempadan tanah masing-masing
menyiapkan dan menghantar laporan bulanan dan penyata kewangan mukimnya kepada pegawai-pegawai berkenaan di daerahnya dan kepada Megistret pada setiap 3 haribulan.
l)  memastikan tiada aktiviti atau kegiatan perjudian,penjualan arak tanpa kebenaran

4. Engkar Perintah-
a) Denda tidak melebihi $500  atau penjara tidak melebihi 2 tahun kerja berat sekiranya menjadi Penghulu tanpa watikah pelantikan oleh DYMM Sultan secara bertulis
b) menjalankan kutipan haram atau menzalimi orang awam akan dikenakan tindakan tatatertib yang berat atau dilucutkan jawatan.

1938
1. Kelayakan- masih seperti dahulu, berpendidikan tinggi dari institusi pendidikan yang diiktiraf,  tidak semestinya daripada keluarga yang dihormati dan berpengaruh, daya kepimpinan tinggi, mendapat perkenan DYMM Sultan secara bertulis.

2. Tanggungjawab - membantu Pegawai Daerah dalam bidang tugasnya mengikut bidang kuasa yang dibenarkan dalam mukim masing-masing

3. Ganjaran- gaji dan elaun bulanan dibayar secara tetap oleh kerajaan negeri, rumah kediaman disediakan.(Tempoh perkhidmatan, tetap dan berpencen)

4. Bidang kuasa- bertambah dan dinaiktaraf:
a) menyelesaikan kes sivil  bukan jenayah dalam kalangan penduduk Asiatics dengan dendaan tidak melebihi $50.
b) mengadakan Mahkamah Penghulu untuk menyelesaikan kes tuntutan berdasarkan adat Melayu.
c) menjadi penimbangtara dan membantu pihak polis dalam menyelesaikan kes jenayah.
d) menguruskan lawatan pegawai atasan kerajaan ke mukimnya.
e) menyampaikan makluman penting kerajaan dalam perhimpunan masyarakat atau ketika khutbah Jumaat
f) menjadi Pengerusi Masjid di mukimnya
g) mempunyai pembantu i.e. Ketua Kampung dalam menjalankan tugas-tugas rasmi kerajaan di mukimnya.
h) menghadiri majlis-majlis kemasyarakatan di mukimnya dan majlis-majlis rasmi kerajaan.

2014

1. Kelayakan:
Sijil Pelajaran Malaysia atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan serta mempunyai pengalaman tidak kurang dari 10 tahun dalam bidang yang berkaitan, terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan dan sukarela serta berpengetahuan luas dalam pembangunan masyarakat, adat istiadat, agama dan sosiobudaya tempatan; atau
[ Gaji Permulaan: RM1,511.54 ]
Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan; atau
[ Gaji Permulaan: RM1,737.15 ]
Sijil Tinggi Agama Malaysia atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan; atau
[ Gaji Permulaan: RM1,737.15 ]
Diploma dalam bidang pentadbiran awam yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya; atau
[ Gaji Permulaan: RM2,037.96 ]
diploma dalam bidang pengurusan harta benda yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
[ Gaji Permulaan: RM2,113.16 ]
kepujian Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu (termasuk lulus Ujian Lisan) pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan.
[Calon dengan kelayakan STPM/STAM atau diploma disyaratkan mempunyai pengalaman tidak kurang dari 5 tahun dalam bidang yang berkaitan, terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan dan sukarela serta berpengetahuan luas dalam pembangunan masyarakat, adat istiadat, agama dan sosiobudaya tempatan]

2.  Ganjaran- gaji dan elaun bulanan dibayar secara tetap oleh kerajaan Persekutuan, rumah kediaman disediakan. Kemudahan-kemudahan sama seperti yang dinikmati oleh penjawat awam lain. (Tempoh perkhidmatan tetap dan berpencen)
 
GAJI MINIMUM GAJI MAKSIMUM KADAR KENAIKAN GAJI TAHUNAN
RM1,362.00            RM5,092.00                            RM145.00

3. Deskripsi Tugas:
Bertanggungjawab sebagai Pegawai Perhubungan antara Kerajaan dengan rakyat bagi urusan-urusan yang berkaitan dengan Pentadbiran Tanah, Pentadbiran Agama Islam, Keselamatan Pembangunan, Kegiatan Sosial dan Kebajikan Masyarakat di peringkat kampung, mukim, daerah dan negeri.

Senarai Nama Penghulu yang pernah berkhidmat di TPG sehingga kini.

1
Penghulu Raja Ibrahim bin Raja Budu (1 Januari 1893-?)
2
3
Penghulu Haji Jaafar bin Abdul Rahman (Jun 1906-?)
4
Penghulu Che Abdullah bin Sheikh Hassan
5
Penghulu Ngah
6
Penghulu Osman
7
Penghulu Raja Idris
8
Penghulu Syed Hashim
9
Penghulu Abdullah
10
Penghulu Wan Hamid
11
Penghulu Omar
12
Penghulu Wan Hassan bin Wan Salleh (tahun 1960an)
13
Penghulu Abu Bakar
14
Penghulu Muhammad Bandar
15
Penghulu Hamzah bin Abdullah
16
Penghulu Faidzullah
17
Penghulu Mohd Salleh bin Abdul Rahman
18
Penghulu Aziz bin Kasim
19
Penghulu Abdul Hamid
20
Penghulu Haji Mohd Halil bin Selamat
21
Penghulu Haji Mahadzir bin Abu Samah (16 September 1999 - 31 Disember 2005)
22
Penghulu Faisal bin Yahya (1 Januari 2006 - 15 Ogos 2008)
23
Penghulu Haji Mat Isa bin Harun (16 Ogos 2008 - )

1 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam

Perubahan Fizikal dan Hidrologi TPG

Assalamualaikum semua. Aku minta maaf kerana dah berbulan tak menulis apa-apa dalam blog ini. Mesti korang rindu pakcik kan,kan,kan. Bukan...