Rabu, 22 Oktober 2014

Pengangkutan Bas Awam di Klang dan Banting (1970-1990an)

Salam buat semua. Kepada yang baru datang melawat Ahlan Wa Sahlan. Arigato mas. Selamat Datang.  Sihat semuanya? Alhamdulillah. Semoga Allah melindungi kita dunia sampai akhirat. Aku tengah nak menyambung kisah pengangkutan awam di Telok, Banting dan Klang serta sekitarnya. Kisah aku dan generasi Baby Boomer (lahir selepas Perang Dunia Kedua) hidup merentas tahun-tahun 1960an, dan 70an. Kemudian lahir pula generasi X (lahir tahun 80an dan 90an) sehinggalah kini generasi Y (agaknya yang lahir lepas tahun 2000 kot?). Entah ya entah tidak sebutan aku tu, maklumlah orang kampung. Kalau korang belum baca entri aku yang lepas tentang  macam mana orang Telok, Klang dan Banting bergerak menjalani kehidupan mereka, baca kat sini, dan sinun.
Izinkan aku memulakannnya, ya?

Cerita pasal naik bas awam teringat aku zaman persekolahan  dan zaman bujang aku dahulu. Masa itu nak ke mana -mana pun naik bas. Pergi sekolah, pergi tengok wayang, pergi beli baju raya, mengurat pun naik bas. Naik teksi sekali sekala, pasal mahal. Itupun time musim durian, time tengah loaded. Kalau masa nak raya, terpaksalah naik teksi pasal tak sanggup nak bertolak-tolak ketika nak naik bas dan berhimpit-himpit berdiri dan bergayut dalam bas pasal terlalu penuh. Dah macam sardin dalam tin jer. Bau badan faham-faham jer lah. Hari dah petang, macam-macam bau keluar. Nasib baiklah masa itu tak ada Bangla dan Nepal. Kalau tidak….

Bas pula satu hal. Jalan ikut suka emak bapak drebar jer. Kita yang menunggu kat tepi jalan dah berpeluh-peluh, tak sampai-sampai. Makcik-makcik dan anak-anak dara pula dah mengeluh, mekap dah cair, dah kurang comel. (Macam ler sebelum bermekap rupa macam Neelofa atau Kris Dayanti, hehehe). Matahari dah meninggi, peluh dah mengalir, ketiak dah berpeluh, bau ketiak dah mewangi, batang hidung bas tak tiba-tiba. Bila muncul jer, penuh sepadat-padatnya. Tahan pun drebar buat tak tahu jer. Jalan terus siap bunyikan hon lagi. Dah lebih sejam menunggu, datang bas tak berhenti pula, kena tunggu sejam lagi. Memang hati time itu terbakar. Macam-macam benda kurang baik keluar. khas ditujukan buat drebar, syarikat bas. Penumpang-penumpang yang tak berdosa dan tak ada kena- mengena pun dapat sekali. Maklumlah hati tengah panas di bawah terik mentari pulak itu! Tapi yang menghairan aku, bila aku tak nak naik bas, kadang-kadang tak sampai lima minit bas baru lepas depan rumah aku, lalu pula seekor lagi, kosong pulak tu, hanya drebar, kondakter dan dua,tiga orang sahaja. Yang lain orang bunian yang tak kelihatan (kerusi jer). Entah apa hantu dah masuk dalam badan drebar dan kondakter bas itu aku pun tak tahu. Agaknya diorang ada share dalam syarikat bas emak abah diorang tu,kot? Lagipun nak cakap lebih-lebih tak boleh, pasal aku ini pun anak seorang kondaktor dan kemudiannya drebar bas. Kutuk punya kutuk kena batang hidung sendiri.

Teringat aku ketika arwah bapa aku jadi kondaktor bas di syarikat bas Kee Hup Omnibus Co. Bas Klang –KL warna merah putih dulu tu. Tiap-tiap hari aku tengok bapa aku bawa balik kutipan basnya untuk dikira sebelum dihantar ke pejabat syarikat keesokan harinya. Hari-hari juga aku tengok bapa aku buka ikatan tiket-tiket bas untuk dikira jumlah tiket yang terjual. Lepas kira ikat semula mengikut nilai tiket untuk shift kerja hari esok pulak. Berapa laku dan berapa kutipan direkodkan kedalam borang khas sebelum dihantar ke pejabat syarikat. Beratus-ratus ringgit juga ler jumlahnya. Yang aku hairan selamba jer bapa aku bawa duit cash tu. Tak risau langsung kalau dirompak orang. Mungkin Allah permudahkan kerana niatnya ikhlas untuk mencari sesuap nasi yang halal untuk diri dan keluarganya. Amin.


Pernah juga aku ke tempat kerjanya, menghantar nasi dan lauk kalau abah aku kerja overtime. Waktu itu aku baru jer berumur 10 tahun, dah pandai ke Klang sorang-sorang. Ramai juga kawan-kawan sekerja bapa aku yang aku kenal. drebar bas, kondakter, inspektor tiket dan station master. Lagipun arwah bapa aku memang pemurah orangnya. Time musim durian kat Telok, dia jemput semua kengkawan dia ke rumah untuk dijamunya dengan durian, manggis dan rambutan. Tak berkira sungguh. Mudah-mudahan Allah melimpahkan rahmatNya ke atas roh kedua-dua ibu bapa aku dan roh kengkawan abah aku yang dah pergi.

Pernah juga bapa aku bawa aku dan kakak aku ikut rombongan sekolah Cina melawat dan melancong ke Kuala Lumpur pasal mereka sewa khas atau chartered bas syarikat bapa aku bekerja itu. Kalau tak salah aku, tahun itu tahun 1973. Itulah first time aku ke Kuala Lumpur seingat aku. Seronok sungguh. Kitaorang pergi melawat kilang buat minuman Kickapoo, Tugu Negara, Muzium Negara, dan Batu Caves. Ya…Batu Caves tempat Hindu pergi time Thaipusam itu. Aku panjat anak tangga yang beratus-ratus sampai ke dalam gua itu. Wah, bukan main besar dalam gua itu! Memang ada kuil hindu di situ, tapi fokus aku kat batu-batuan dalam gua. Sejuk dan agak kelam. Malam baru kami balik. Mungkin dari situlah aku memang berminat buat rombongan bawa anak-anak murid sekolah aku time cuti panjang… dari dulu sampai sekarang.

Kemudian bapa aku jadi drebar bas syarikat yang sama, masa itu aku dah tamat sekolah menengah sehingga 1989, masa dia berumur 51 tahun. Lepas itu bapa aku bawa teksi (permitnya sendiri) berulang alik dari Banting ke Klang sehinggalah  tahun 1998. Barulah dia betul-betul bersara dan kereta sewa itu adik aku pulak yang bawa selepas itu. Itulah kisah kerjaya bapa aku, aku (sekejap jer part time drebar teksi (1989-90) dan adik aku sebagai seorang pemandu kenderaan awam di Telok, Klang dan Banting suatu masa dahulu. Nostalgik sungguh.

OKlah seperti biasa aku nak beri info untuk korang, budak-budak universiti dan bebudak sekolah sejarah pengangkutan awam kawasan kita pada tahun-tahun 1970an sehinggalah akhir 1989. So, ambil mouse, copy pastekan maklumat-maklumat ini ke dalam research dan folio sejarah korang.

Pada tahun-tahun 1970an  sekali lagi berlaku rombakan dan pengagihan semula laluan bas untuk kawasan Klang termasuk Pelabuhan Klang , Kuala Selangor dan Banting. Hal ini kerana terdapat kawasan-kawasan petempatan baru yang diwujudkan akibat penghijrahan masuk secara beramai-ramai dari kawasan-kawasan luar bandar di seluruh Semenanjung ke Kuala Lumpur dan Lembah Klang termasuk di TPG. Pembukaan zon-zon perindustrian di Pelabuhan Klang, TPG, Shah Alam meujudkan permintaan yang tinggi terhadap pengangkutan awam terutamanya bas. Sepanjang tahun 1970an, perkembangan pengangkutan bas dan teksi serta kereta sewa begitu menguntungkan semua pihak, pengusaha dan pengguna. Inilah Zaman Kegemilangan Pengangkutan Awam di Klang. Bas-bas baru dan berhawa dingin diperkenalkan di beberapa laluan utama. Syarikat-syarikat baru seperti Kee Hup Omnibus Co. dan Kuala Selangor Omnibus Co. (KSOC) diberi permit untuk laluan-laluan baru dan lama. Sebagai contoh, KSOC diberi laluan asal KCOC (korang rujuklah entri aku yang lepas akronim ini) tetapi terhad hanya dari Klang ke Kuala Selangor dan kampung-kampung sekitarnya seperti tercatat di bawah:

Kenderaan Bas Mara pula diberi laluan-laluan sekitar Banting, Pelabuhan Klang, serta seluruh Klang Selatan.
Banting:
Banting-Klang-Banting
Banting-Chodoi-Banting
Banting-Tanjung Sepat-Banting
Banting-Dengkil-Banting

Klang (Beroperasi dari Stesen Bas Mara Klang Selatan)
Klang-Pelabuhan Klang-Klang
Klang-Kg.Delek-Klang
Klang-Jalan Yadi-Klang
Klang-Pandamaran-Klang
Klang-Taman Goodwood-Klang
Klang -Telok Gong
Klang-Telok Gadong
Klang-Telok Pulai

Syarikat bas Kee Hup Omnibus Co. pula diberi keizinan menjalankan operasi di sekitar Klang Utara menghala ke arah Kuala Lumpur termasuk Shah Alam, Jalan Klang Lama, dan Puchong:
Klang:(Beroperasi dari Stesen Bas Klang Utara)
Klang-Kl-Klang
Klang-Puchong-Klang
Klang-Kg.Jawa-Klang
Klang-Jln.Kebun-Klang
Klang- Bukit Kemuning-Klang
Klang-Air Kuning-Klang
Klang-Eng Ann Estate-Klang
Klang- Taman Berkeley-Klang
Klang-Padang Jawa-Klang



                             





 Wujud juga beberapa laluan yang bertindan terutama dalam bandar Klang. Laluan KL-Klang-Pelabuhan Klang kini dikongsi bersama KL-Klang-Port Swettenham Omnibus Co., Kee Hup Omnibus Co., Kenderaan Bas Mara, Sri Jaya. Syarikat-syarikat ini mesti menyediakan bas-bas ekspres untuk laluan baru ini. Bas-bas ekspres baru yang berhawa dingin dan selesa ini mesti beroperasi dari Stesen Bas Klang (yang telah dirasmikan pembukaannya pada tahun 1968)  di Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Persekutuan (Federal Highway) ke Klang dan kemudian terus ke Pelabuhan Klang. Beberapa hentian dibenarkan sepanjang laluan tersebut:
  • Pondok Bas berhampiran bangunan EPF di Petaling Jaya
  • Pondok Bas di Batu 10 Sungai Way
  • Stesen Bas Klang Utara (Bangunan Great Wall) di Jalan Pos Baharu
  • Stesen Bas Klang Selatan (Terminal Bas Mara)
  • Stesen Bas Pelabuhan Klang
Kemudian pada tahun 1975, Kenderaan Klang Banting Bhd (nama rasmi baru Kenderaan Bas Mara mulai 29 Disember 1973) memulakan  perkhidmatan bas ekspres (berhawa dingin) dari Kuala Lumpur-Klang-Banting dengan hentian-hentian yang sama seperti di atas dan hentian tambahan di TPG dengan nombor laluan 710. Perjalanan selesa sejauh 71 km dan memakan masa 2 jam 30 minit ini merupakan salah satu laluan yang paling menguntungkan kerana memenuhi kehendak pengguna. Sebanyak 14 buah bas baru digunakan untuk laluan ekspres ini pada awal penubuhannya.







Dari semasa ke semasa, beberapa laluan baru terhad dibuka. Antaranya:
  • laluan Klang-Rantau Panjang
  • laluan Klang Bandar Sulaiman
  • laluan Klang-Pendamar
  • laluan Klang-Sijangkang
  • laluan Banting-Seri Cheeding
  • laluan Banting-Jenjarom
Beberapa masalah mula timbul di peringkat akhir 80an. Beberapa kaji selidik pelajar-pelajar ITM dan universiti terhadap beberapa syarikat mendapati kelemahan dalam urustadbir syarikat, sumber manusia,strategi perkhidmatan dan logistik yang membawa kepada kerugian besar pengusaha-pengusaha bas ini, dan seterusnya pengambilalihan oleh konsortium baru yang diwujudkan oleh kerajaan. Antaranya:
  1. Persaingan dengan jenis-jenis kenderaan yang lain seperti teksi, kereta sewa, dan prebet sapu, bas kilang
  2. Kekurangan bilangan penumpang
  3. Kawasan dalam operasi kurang mendapat sambutan
  4. Kos operasi yang tinggi
  5. Bas yang kerap rosak
  6. Kelemahan dalam pentadbiran dan pengurusan
  7. Kurang kerjasama menyeluruh daripada pekerja: kurang mesra terhadap pengguna, lewat, tidak berdisiplin
  8. Perkhidmatan keseluruhan yang kurang memuaskan: rungutan orang ramai, keadaan bas yang kotor, bas penuh sesak, ketepatan masa perjalanan
  9. Bilangan bas yang tidak mencukupi
 Mereka  juga dicadangkan agar membuat perubahan terhadap permasalahan tersebut. Antaranya:
  • membaiki sistem penyimpanan rekod
  • memohon laluan baru  ke taman-taman perumahan yang baru dan hospital
  • menyediakan kemudahan untuk orang kurang upaya
  • meningkatkan  dan memperbanyakkan  perkhidmatan bas sekolah
  • memohon pondok bas daripada pihak berkuasa tempatan : MPK, Majlis Daerah Kuala Langat, Majlis Daerah Petaling
  • Latihan bagi pekerja-pekerja
  • memperbaiki keadaan di dalam dan luar bas
  • memperlengkap dan mempertingkat kawalan keselamatan bas, pejabat,pekerja
  • Penjagaan bas
  • Perekodan alat ganti dan minyak
  • memperteguh struktuk organisasi syarikat dengan bidang tugas dan skop kerja yang jelas
Tetapi aku rasa mereka tak ambil berat sangat cadangan budak-budak hingusan universiti itu. Kalau tidak, masakan kerajaan terpaksa merombak semula syarikat-syarikat yang hampir bangkrap ini kerana menanggung kerugian yang tinggi pada penghujung 1990an sehingga wujudnya Park May, Cityliner dan pemain-pemain baru seperti Ardentlink, Seranas, RapidKL, dan sebagainya. Stesen-stesen bas dan teksi/kereta sewa masih berselerak dan berterabur di Klang.Tapi itu semua cerita lain dalam entri yang lain pulak

Rujukan:

http://mohzoom.blogspot.com/

Berita Harian, 25 April 1970, Halaman 8
BAS MARA: SIKAP KASAR K-TANGAN DI-KESAL

http://www.mpklang.gov.my/pengangkutan-awam

May 1993, KENDERAAN KLANG BANTING BERHAD : A STUDY ON THE
SERVICE PERFORMANCE OF THE EXPRESS BANTING - KUALA
LUMPUR ROUTE AND HOW TO IMPROVE THE SERVICE,pdf.


November 1984, SYARIKAT BAS KUALA SELANGOR SENDIRIAN BERHAD
MASALAH, PENYELESAIAN DAN MASA DEPANNYA,pdf.


3 ulasan:

  1. masalahnye skang..knape tak de usaha untuk rebuild atau membina semula..atau setidak2nya renovate bangunan perhentian bas kat banting tu..kemudahannya semakin mengecewakan..tdk langsung memberi keselasaan kepada pelanggan..tau kaut untung je..dr aku kecik smp la besar..langsung x de perubahan..sbb ia melambangkan imej pekan BANTING..

    BalasPadam
    Balasan
    1. saya setuju pandangan tuan Mohd Nur...sekurang-kurangnya sebuah terminal bersepadu bas,dan teksi dengan tempat parking kereta bertingkat, macam kat Terminal One, Seremban

      Padam
  2. Bukan perhentian bas banting jer..Perhentian Bas Klang Central..memalukan...kotor, rosak,tanda nama platform, nama syarikat bas pon takda...

    BalasPadam

Perubahan Fizikal dan Hidrologi TPG

Assalamualaikum semua. Aku minta maaf kerana dah berbulan tak menulis apa-apa dalam blog ini. Mesti korang rindu pakcik kan,kan,kan. Bukan...