Memaparkan catatan dengan label kemandol pulau carey. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kemandol pulau carey. Papar semua catatan

Sabtu, 26 Jun 2021

Dilema Orang Asli Kuala Langat

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Buat semua pembaca blog Atok yang setia mengikuti perkembangan Atok dan Wan. Semoga kita semua di dalam lindungan Allah. Tiada daya dan kuasa kita kecuali dengan izinNya. Semoga nikmat kehidupan, keamanan serta kesihatan yang kita kecapi ini berterusan sehingga akhir hayat kita. Atok perasan juga ada antara pembaca Blog Atok ini bukan Islam. Ada Mat Saleh dari Amerika, Eropah dan termasuk juga sahabat kita daripada Orang Asli. Terima kasih kerana membaca dan memberi komen. Atok doakan semoga Allah memberi hidayah kepada mereka. Amiin.

Entri Atok kali ini berkaitan dengan hutan. Hutan yang menjadi penyejuk, penapis, penenang kepada kita dan bumi kita. Orang sekarang memang mesra alam. Mereka tahu kepentingan hutan kepada manusia. Kita juga marah dan membenci golongan manusia yang mencemarinya termasuk pembalak, pengunjung yang membuang sampah pada hujung minggu serta pemaju yang menolak tanah hutan atas nama pembangunan. 

Atok juga bersimpati dengan nasib Orang Asli yang keadaan mereka bak kata pepatah, Gajah sama gajah bergaduh, kancil terperangkap di tengah. So, entri kali ini memang Atok nak fokuskan tentang Orang Asli dan masa depan mereka. Semestinya Atok akan fokuskan cerita mereka yang ada di Kuala Langat sahaja, walaupun isu dan permasalahan yang mereka alami dan hadapi  bukan lagi bersifat nasional, bahkan universal.
 
Apa sebab yang buat Atok sampai nak tulis cerita pasal orang Asli ini? Apa Atok ada darah campuran ke dengan Sakai Telok Gonjeng ataupun Jakun Bukit Kemandol? Hahaha....bukan, Atok bukan anak hybrid Melayu dan Melayu Asli! Memang Atok berdarah campuran, Mixed blood Arab sebelah Moyang lelaki dan Melayu sebelah moyang perempuan.  Atok baka import, bukan gen tempatan. 

Sepanjang hidup Atok, hanya tiga kali Atok berinteraksi dengan orang Asli ini. Pertama, ketika Atok cuba meraih durian di Bukit Kemandol. Kali kedua pulak semasa Atok pandu teksi bawa Cina ke rumah bomoh orang Asli di Bukit Tampoi, Dengkil. Dan kali ketiga time Atok jadi cikgu Disiplin dekat SMK Jugra, settlekan kes budak Asli kena buli dengan budak Melayu Kelanang. Itu sahaja.

So, apasal Atok nak sangat tuliskan tentang orang Asli ini? Bukankah dah tiga kali entri Atok dalam blog ini cerita pasal mereka?  Kalau korang nak baca, klik aja link kat bawah ini. 


Ya, itu pasal sejarah, pasal mereka dan Sultan. Yang ini pulak pasal mereka dan kita, sekarang, masa kini.Tapi sebelum itu, Atok nak korang kenal dahulu siapa mereka, dekat mana mereka berada, berapa ramai mereka. Juga korang bacalah pekerjaan utama mereka. Apa agama mereka? Banyak lagi tentang mereka yang kita tak tahu ataupun memang tak ambil tahu selama ini. Lepas tu baru Atok ceritakan kenapa Atok simpati dengan nasib mereka dahulu, kini dan selepas ini, maksud Atok, masa depan mereka.  Korang bacalah penulisan Atok ini sampai habis ya, lepas itu komen kat Atok pendapat korang. Atok OK jer, open minded. Nak puji boleh, nak kutuk pun Atok tak kesah. Wassalam.
                               


SENARAI PETEMPATAN ORANG ASLI DI KUALA LANGAT 2021

NAMA MUKIM 

JUMLAH    

NAMA KAMPUNG ORANG ASLI

MUKIM TANJUNG DUA BELAS (1)

8

1) Kampung Orang Asli Pulau Banting

2) Kampung Orang Asli Pulau Kempas

3) Kampung Orang Asli Bukit Perah

4) Kampung Orang Asli Bukit Cheeding

5) Kampung Orang Asli Bukit Kemandol

6) Kampung Orang Asli Bukit Kecil

7)  Kampung Orang Asli Busut Baru

8)  Taman Desa Kemandol

MUKIM TANJUNG DUA BELAS (2)

4

1) Kampung Orang Asli Bukit Tadom

2) Kampung Orang Asli Mutus Tua

3) Kampung Orang Asli Paya Rumput

4) Kampung Orang Asli Sungai Kelembau

MUKIM TELOK PANGLIMA  GARANG

0

                          TIADA

MUKIM BANDAR DAN JUGRA

6

1) Kampung Orang Asli Sungei Bumbun, Pulau Carey

2) Kampung Orang Asli Sungei Judah, Pulau Carey

3) Kampung Orang Asli Sungei Kurau, Pulau Carey

4) Kampung Orang Asli Sungei Rambai, Pulau Carey

5) Kampung Orang Asli Kepau Laut, Pulau Carey

6) Kampung Orang Asli  Bakar Leleh

MUKIM MORIB DAN KELANANG

2

1) Kampung Orang Asli Telok Tongkah

2) Kampung Orang  Asli Permatang Buah

MUKIM BATU

1

1) Kampung Orang Asli Tanjung Sepat

JUMLAH BESAR

        21



SENARAI KAMPUNG ORANG ASLI DI KUALA LANGAT DAN BILANGAN PENDUDUK

 

Bil.

Nama Kampung Orang Asli

Bilangan Penduduk*

1

Kampung Orang Asli Bukit Cheeding

211

2

Kampung Orang Asli Bukit Kechil

105

3

Kampung Orang Asli Bukit Kemandul

732

4

Kampung Orang Asli Bukit Perah

144

5

Kampung Orang Asli Pulau Kempas

241

6

Kampung Orang Asli Busut Baru

473

7

Kampung Orang Asli Tanjung Sepat

575

8

Kampung Orang Asli Telok Tongkah

150

9

Kampung Orang Asli Permatang Buah

91

10

Kampung Orang Asli Pulau Banting

205

11

Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Pulau Carey

403

12

Kampung Orang Asli Sungai Rambai, Pulau Carey

122

13

Kampung Orang Asli Kepau Laut, Pulau Carey

168

14

Kampung Orang Asli Sungai Kurau, Pulau Carey

203

15

Kampung Orang Asli Sungai Judah, Pulau Carey

295

16

Kampung Orang Asli Bukit Serdang

272

17

Kampung Orang Asli Bukit Tadom

537

18

Kampung Orang Asli Mutus Tua

24

19

Kampung Orang Asli Paya Rumput

113

 

Sumber: JKOA

*Kemaskini sehingga November 2018



Daerah Kuala Langat mempunyai 19 buah perkampungan orang asli dan penduduknya seramai 5064 orang. Status perkampungan orang asli ini terbahagi kepada tiga: 

a) Telah diwartakan, 

b) Sedang dalam proses pemwartaan 

c) Masih belum diwartakan.

Majoriti masyarakat orang asli di sini terdiri daripada puak Temuan Beladas di  kawasan perbukitan seperti Bukit Kemandol, Bukit Cheeding, Bukit Serdang dan Bukit Tadom, manakala suku Mah Meri pula di kawasan pesisiran pantai Pulau Carey, Sungai Langat, Tanjung Sepat. Pada asalnya, masyarakat orang asli ini mempunyai cara hidup yang suka berpindah randah dan mengamalkan pertanian pindah serta memburu dan menangkap ikan.

Ketika pemerintahan Sultan Selangor keempat, Almarhum Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah, kaum asli ini dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan pihak istana sehingga mereka diberi tanah dan kawasan rayau yang luas. Perkampungan ini terdiri daripada Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Busut Baru dan Bukit Kemandol merupakan kurniaan sultan  kepada masyarakat Orang Asli di situ. 

Pada masa kini, cara hidup masyarakat orang asli telah semakin moden dan tinggal kekal di sesuatu tempat. Kegiatan hidup masyarakat Orang Asli yang kini sangat bergantung kepada tanah. Dalam hal ini tidaklah pula dapat kita nafikan bahawa beberapa kegiatan menghasilkan keluaran-keluaran hutan seperti rotan, damar, gaharu dan buah-buahan masih dijadikan kegiatan sampingan oleh Orang Asli. Kegiatan ini mereka teruskan kerana kegiatan pengeluaran hasil pertanian masih tidak dapat menampung sepenuhnya keperluan hidup mereka. Berbagai-bagai sebab menjadi faktor mengapa masyarakat Orang Asli masih tidak dapat bergantung sepenuhnya kepada kegiatan pertanian. Antara sebab yang utama mengapa pertanian tidak dapat dijadikan sebagai kegiatan yang boleh menjamin kehidupan mereka ialah kerana kedudukan hak mereka terhadap tanah hanya sebagai tenan ikut ehsan yang sekaligus pula membataskan ruang dan peluang bagi pihak dan agensi kerajaan untuk membantu memajukan sektor tersebut.  







SISTEM KEPERCAYAAN

Keseluruhan masyarakat Orang Asli Mah Meri masih mengamalkan budaya dan adat resam mereka sendiri. Mereka masih mengamalkan kepercayaan animisme yang mempercayai bahawa pokok, batu dan sungai mempunyai kuasa baik dan kuasa jahat. Walau bagaimanapun mereka mempercayai kuasa yang tertinggi yang mencipta alam dan manusia dikenali sebagai Tuhan. Di bawah kuasa tertinggi Tuhan ialah moyang, iaitu roh datuk nenek dan pelbagai jenis hantu serta makhluk halus samada yang membawa unsur kebaikan mahupun keburukan. Mereka sangat menghormati moyang yang terdiri daripada datuk nenek yang telah lama meninggal dunia dan orang yang termasyhur atau terkenal ketika hidupnya. 

Justeru, bagi memperingati jasa roh moyang yang diyakini telah membantu dalam segala aktiviti kehidupan, mereka mengadakan aktiviti-aktiviti keagamaan sepanjang tahun untuk menzahirkan rasa kesyukuran kepada roh tersebut (Shaiful Bahri Md Radzi 2003: 44). 

Antara perayaan keagamaan orang Asli Mah Meri, menurut Halim Mokhtar (2002: 24) ialah perayaan Hari Moyang yang kebiasaannya disambut pada awal bulan Februari. Hari pemujaan ‘moyang laut’ atau ‘puja pantai’ diadakan secara besar-besaran yang diketuai oleh seorang bomoh.

Majoriti orang Asli masih lagi menganut agama animisme atau agama yang dianuti turun temurun dari nenek moyang mereka. Hanya sekitar 8% mereka yang menerima dakwah dan menjadi penganut agama Islam. Keadaan ini menunjukkan bahawa perkembangan dakwah Islamiah dari jumlah penganut tidak menggalakkan atau memberangsangkan. 

Faktor pendidikan yang rendah memberi kesan kepada sikap mereka untuk berfikir secara rasional dan menerima sesuatu yang baharu. Dengan kata lain, kejumudan fikiran dan kedangkalan ilmu pengetahuan dilihat menjadi penyebab kepada halangan mereka menerima dakwah dan sekali gus tidak berminat terhadap program-program penerangan yang bercorak keilmuan.

INFERIORITY COMPLEX

Salah satu sifat dan sikap orang asli yang Atok perhatikan, mereka ini memang ada inferiority complex atau rasa rendah diri yang tinggi. Mereka kurang bercampur dengan masyarakat umum. 

Susah nak tengok mereka bergaul mesra dengan orang kampung atau orang luar. Budak-budak sekolah pun komplen pasal anak-anak orang asli. Mereka kata diorang ni tak mahu bercampur bermain bersama. Diorang lebih suka menyendiri atau bergaul sesama mereka jer.

Mengikut rakan sekolah Atok dahulu, kini seorang Guru Besar di salah sebuah sekolah orang asli di Kuala Langat, memang bebudak asli ini menjadi cabaran kepada tugas-tugas guru. Mereka ke sekolah ikut rasa dan masa diorang jer. Kehadiran ke sekolah memang rendah. Tapi apabila dalam kelas, diam membatu. Cikgu tanya 100 patah, payah sepatah perkataan yang keluar daripada mulut diorang. Seolah-olah mereka ini spesis berbeza, 

Konotasi negatif seperti Sakai, Jakun dan Gonjeng menyisihkan lagi hubungan mereka dan kita. Tambahan pula budak-budak kampung panggil mereka dengan panggilan mengejek, makin jauhlah mereka daripada kita.

HUBUNGAN DENGAN KAUM LAIN

Kaum Melayu 

Imej kurang baik yang ditonjolkan oleh masyarakat Melayu khususnya masyarakat Melayu yang berjiran dengan Orang Asli. Perbuatan Orang Melayu yang dilihat suka mencuri kerbau, menipu dan memandang hina terhadap Orang Asli menyebabkan timbul perspesi negatif kepada Orang Melayu. Orang Asli begitu kecewa dengan masyarakat Orang Melayu yang tidak jujur ketika berurusan dengan mereka terutama dari segi urusan jual beli. Di sesetengah tempat, interaksi sosial bermula dengan keperluan mendapatkan barangan hutan daripada orang Asli manakala keperluan orang Asli dapat dipenuhkan oleh orang Melayu. Transaksi dilakukan secara barter trade yang menampakkan eksploitasi ke atas kaum Asli yang 'bodoh' dan naif ini.

Orang Melayu menganggap orang Asli sebagai golongan kafir dan ganas. Malah mereka menganggap orang Asli mengamalkan ilmu hitam yang boleh memudaratkan kehidupan mereka. Sememangnya orang Asli tidak beragama. Mereka mengamalkan animisme, kepercayaan terhadap semangat hutan dan datuk nenek moyang. Kuasa sihir mereka kuat dan menakutkan. Masyarakat Melayu yang kurang kuat pegangan agama pun mempercayai pantang larang dan kepercayaan yang karut marut sehingga boleh menjejaskan akidah. Kepercayaan terhadap kuasa ghaib di hutan, adanya tangkal pelindung diri, ilmu kebal dan sebagainya. Orang Melayu tidak berani untuk masuk ke hutan dalam kumpulan kecil, takut akan orang Asli dan sihir mereka.

Begitu juga orang Asli. Mereka takut ditangkap, dijual sebagai hamba atau dibunuh jika terserempak dengan kumpulan ' pendekar' Melayu yang menjalankan pemerdagangan manusia untuk dijadikan hamba sahaya buat keluarga bangsawan yang sanggup menawarkan harga yang tinggi. Lelaki dewasa dibunuh, anak lelaki dijadikan hamba di ladang, gadis dijadikan hamba di rumah. Bagi mereka, Melayu memang jahat.Itulah yang diulang-ulang oleh penglipur Lara mereka.

Ketaatan dan setiakawan mereka mudah diperalat oleh orang lain. Tambahan pula mereka ini mendapat keistimewaan dan bantuan daripada kerajaan. Umno dikatakan memperalatkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA bagi mengawal hampir kesemua perkampungan masyarakat terbabit yang terletak di pedalaman.

Penjajah  Portugis, Belanda dan Inggeris

Pihak penjajah Inggeris banyak menjadikan mereka sebagai kajian medis mahupun anthropologi mereka. Mereka juga berkahwin dengan orang Asli untuk melampias nafsu kejantanan mereka. Maka lahirlah golongan  Serani yang beribukan Melayu Asli. Pendedahan kepada bangsa penjajah ini juga menjadi penyebab kematian akibat cacar sebagaimana kaum kaum rimba yang lain sepert Mayan dan Aztec di Amerika Tengah.

Bagi mereka masyarakat Orang Asli adalah satu masyarakat yang primitif dan eksotik yang perlu dilindungi bagi tujuan mengekalkan tradisi hidup dan juga melindungi mereka daripada terperangkap ke dalam perubahan yang sedang berlaku ketika itu. Mengungkapkan semula pandangan Carey (1976: 289) tentang sikap kerajaan penjajah, beliau menyatakan:

"...the attitude of the British colonial government from its early days until the coming of independence was somewhat unrealistic and one of patronizing benevolence towards the aboriginal tribes. The Orang Asli were regarded as noble savages, leading an idealized and romantic form of existence, and the task of the government was to protect them from the ravages of modern life."

Kaum Cina

Eksploitasi kaum Cina ke atas Orang Asli melalui perniagaan. Untuk mendapatkan kepercayaan dan dominan dalam pembelian hasil Orang Asli, mereka akan menawarkan pinjaman kewangan atau pemberian barangan seperti motosikal, bantuan pembinaan rumah dan sebagainya bagi memenangi hati orang asli ini. 

Setelah berjaya mendapatkan kesetiaan dan kepercayaan orang asli, maka mereka akan mengeksploitasi harga pembelian pada harga yang rendah ataupun pada pertukaran barangan secara barter trade yang tidak setimpal dengan harga pasaran ataupun melalui penipuan timbangan barangan.

Faktor ini ditambah pula dengan sikap mereka yang terhutang budi dengan orang Cina yang menjalankan perniagaan dan terpengaruh dengan cara hidup mereka yang suka berjudi dan minum arak.

DASAR KERAJAAN TERHADAP ORANG ASLI

Perhatian yang diberikan oleh kerajaan terhadap masyarakat Orang Asli ini bukan merupakan satu perkara yang baru. Sejak dari zaman penjajah lagi, iaitu pada tahun 1950 sebuah jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli telah ditubuhkan. Tujuan utama penubuhan jabatan tersebut ialah untuk melindungi orang asli daripada dipengaruh oleh pergerakan Pengganas Komunis yang pada ketika itu berjuang menentang kerajaan. 

Untuk memperkuatkan lagi kekuasaan kerajaan penjajah dalam mengawal dan mentadbirkan kehidupan kumpulan masyarakat ini, pada 25 Februari 1954 sebuah Akta yang dikenali sebagai Akta 134, Akta Orang Asli 1954 telah diperkenalkan. Akta ini seterusnya menjadi garis panduan yang menentukan dasar kerajaan dalam urusan mentadbirkan masyarakat tersebut. Akta ini telah menyediakan peruntukan kepada kerajaan untuk menjaga dan melindungi masyarakat Orang Asli. ,

Dari sudut Akta ini Orang Asli hanya diberi hak menduduki sesuatu kawasan dan mengusahakan kawasan itu untuk tujuan menyara diri. Hak untuk memiliki tanah tersebut secara peribadi yang membolehkan mereka melakukan transaksi berhubungan dengan tanah itu tidak dimaktubkan. Sebaliknya yang ditekankan oleh Akta tersebut di bawah seksyen 12 ialah hak untuk menerima pampasan jika pokok-pokok atau kawasan mereka diambil oleh kerajaan. Perkara inilah sahaja keistimewaan hak yang diberikan di bawah Akta itu.

Dalam Akta ini juga hak mewartakan sebarang kawasan sebagai Kawasan Orang Asli atau Rizab Orang Asli adalah terletak dalam tangan Pihak Berkuasa Negeri dan bukan Kerajaan Persekutuan. Adalah menjadi satu ironi apabila tanggungjawab menjaga kebajikan dan usaha membangunkan Orang Asli itu ditangani oleh JHEOA dan Kerajaan Persekutuan, tetapi kuasa mewartakan kawasan Orang Asli itu berada pula dalam tangan Kerajaan Negeri. Kerana pengagihan kuasa dan tanggungjawab ini demikian, usaha membangunkan masyarakat Orang Asli menjadi rumit. 

Akta tersebut tidak mewajibkan Kerajaan Persekutuan merizabkan tanah atau kawasan Orang Asli. Akta itu hanya menyatakan bahawa pihak berkuasa negeri bolehlah mengisytiharkan melalui Warta Kerajaan mana-mana kawasan yang diduduki oleh Orang Asli sebagai satu rizab atau kawasan Orang Asli. Implikasi daripada kedudukan peruntukan yang demikian ialah mewujudkan satu suasana kelonggaran bagi pihak berkuasa negeri untuk memilih sama ada ingin mewartakan sesebuah kawasan itu sebagai kawasan Orang Asli ataupun tidak. Sebarang penentuan dalam hal ini dibuat oleh kerajaan negeri berdasarkan prioriti ekonomi dan politik sesebuah negeri itu. 

Kepentingan masyarakat Orang Asli jarang-jarang menjadi suatu keutamaan bagi sesebuah negeri, kecuali jika ia melibatkan soal keselamatan negara. Hal ini akan menentukan sama ada sesebuah kawasan itu boleh diwartakan sebagai kawasan Orang Asli ataupun sebaliknya.

ISU PENYAHWARTAAN HUTAN SIMPAN KUALA LANGAT UTARA (HSKLU) DAN TANAH REZAB ORANG ASLI

Apabila terbaca tentang isu ini di dada akhbar, mendadak naik kemarahan Atok terhadap pihak kerajaan negeri, pihak yang sepatutnya melindungi dan mempertahankan hak orang asli ini. Mengikut MB, penyahwartaan ini terpaksa dilakukan atas desakan pembangunan di negeri Selangor termasuklah laluan kereta api ECRL ke Pelabuhan Klang. 
Bagi Atok, "GO TO HELL WITH URBAN DEVELOPMENT!". Memang Atok tak puas hati. Kenapa hutan simpan yang seluas sekangkang kera dan ibarat bulu jembut ini dihasadkan? Maafkan bahasa Atok. Biarlah mereka bina rumah berpuluh-puluh tingkat di tempat lain asalkan bukan di situ! Lantaklah kalau mereka terpaksa bina landasan kereta api selari dengan lebuh raya SKVE sehingga ke Port Klang! Kenapa perlu dicuit hutan itu?


                
Konon kata MB lagi, cadangan agar 97% daripada hutan ini akan dimajukan sebagai pembangunan bercampur dan selebihnya 3% untuk dijadikan tanah pertanian kekal khas untuk orang asli yang di situ. Atok tak kisah kalau 3% daripada keluasan hutan kira-kira saiz 2,000 buah padang bola itu diperuntukkan kepada orang asli TETAPI 97% hutan itu mesti diwartakan sebagai hutan simpan kekal. 
                     




Hutan ini masih lagi menjadi ‘nadi kehidupan’ buat mereka sejak ratusan tahun dahulu sehinggalah sekarang. Malah, kualiti hutan ini yang berusia 8,000 tahun masih lagi terpelihara. Mereka lebih suka bekerja sendiri.. Mereka tak sukar mendapatkan segala sumber hutan sama ada untuk kegunaan sendiri mahupun sebagai mata pencarian.

“Biasanya, tak sampai setengah jam dalam hutan (HSKLU), pelbagai sumber hutan pasti mudah diperolehi dan kami boleh buktikan hutan ini sebenarnya masih lagi kaya dengan
khazanah alam,”
 





Hutan ini penting bukan untuk orang asli sahaja, bahkan untuk kita semua yang tinggal di Lembah Klang. Kewajaran HSKLU dikekalkan bukanlah sekadar mengekalkan adat budaya tradisi mereka tetapi juga berperanan penting sebagai “paru-paru hijau” terakhir di selatan Selangor yang mempunyai ekosistem hutan paya gambut paling penting dan stabil dalam kelestarian alam dan mitigasi pemanasan global. Memandangkan kawasan tersebut adalah kawasan hutan tanah gambut, ia berperanan besar untuk menyimpan jumlah karbon yang banyak dan secara tidak langsung membantu mengurangkan jumlah karbon semasa. Namun, menerusi penerokaan dan pembukaan kawasan hutan gambut berkenaan untuk tujuan pembangunan, ia akan mengurangkan sumber alam yang berperanan untuk menyeimbangkan jumlah karbon dan lebih memburukkan keadaan akan meningkatkan jumlah pelepasan karbon ke udara.


Kemudian dipersoalkan pula pengorbanan kaum pribumi ini demi pembangunan negara. Ingin Atok beritahu kepada dunia bahawa terlalu banyak contoh masyarakat orang asli telah bertolak ansur sehingga mereka terpinggir:

1. Sejarah Telok Panglima Garang (TPG) juga bermula dengan kisah interaksi dan konflik dengan Orang Asli. Pulau Carey dan Pulau Indah yang terletak di selatan Pelabuhan Klang, merupakan penempatan kaum Mah Meri. Apabila segolongan pedagang Aceh mengetahui bahawa terdapat Orang Asli tinggal di Nibong Dengkil, maka mereka mudik ke hulu untuk mengambilalih dan menguasai Nibong Dengkil. Sewaktu itu terjadi pergaduhan di antara mereka. Memang sifat orang asli yang merupakan kaum non violence,(mungkin juga gerun melihatkan kehebatan panglima-panglima Melayu), maka mereka beralah, berundur dan  melarikan diri menyusuri Sungai Langat  hinggalah ke Bukit Tampoi, berdekatan pekan Dengkil sekarang.

2. Pekan Tanjung Sepat kini asal tanahnya  memang milik kaum orang Asli. Pihak Inggeris telah mengambil tanah di situ untuk mendirikan kampung baharu yang menempatkan ratusan imigran Cina ketika era Darurat melawan komunis dalam tahun 1950-an dahulu.

3. Pembinaan KLIA dalam tahun-tahun 1990-an menyaksikan pengorbanan ratusan ekar tanah rayau orang asli Bukit Bangkung dan Sepang.“Bagi penduduk Orang Asli Kampung Busut Baru, pengalaman lalu mereka berpindah dari tempat asal di Kampung Busut Lama, Sepang pada 1993 untuk projek KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) tidak mudah dilupakan begitu sahaja.

4. Pembersihan kawasan hutan di Bukit Kemandol untuk pembinaan jajaran SKVE dan pembangunan Bandar Saujana Putra dan Gamuda Cove menyebabkan pemindahan ratusan orang Asli Bukit Kemandol ke Desa Kemandol. 

5. Pengambilan tanah perkuburan orang Asli Jugra untuk dijadikan padang sasar PDRM di kaki Bukit Jugra.

Apakah itu bukan pengorbanan namanya apabila tempat tumpah darah mereka hilang ditelan pembangunan?

DILEMA ORANG ASLI

Kenapa, setelah lebih enam puluh tahun negara kita merdeka, mereka masih ketinggalan dalam aspek pembangunan? Antara masalah-masalah yang sedang melanda usaha memajukan masyarakat Orang Asli itu:

1. Pihak yang melaksanakan program pembangunan akan meletakkan pokok kesalahan kepada masyarakat yang menjadi sasaran. Tuduhan-tuduhan seperti anggota masyarakat Orang Asli tidak mempunyai semangat, tiada inisiatif, malas dan mempunyai sikap negatif terhadap perubahan, tiada daya berdikari, degil dan berbagai-bagai tuduhan lagi dilemparkan untuk menjelaskan mengapa ahli masyarakat ini sukar dibangunkan. 

2. Jika ditanya pula kumpulan yang menjadi sasaran pembangunan, maka kegagalan dalam sesuatu program itu dilihat sebagai berpunca daripada kelemahan agensi yang melaksanakannya. Tuduhan-tuduhan seperti perancangan yang tidak teratur, pegawai yang tidak komited kepada tugas, penyelewengan dan sikap pihak perancang yang kurang mengambil kira kemahuan dan pandangan kumpulan sasar sentiasa menjadi alasan untuk menjelaskan mengapa sesuatu program itu kurang berjaya. 

3. Tidak kurang juga terdapatnya pendapat-pendapat yang melihat keciciran masyarakat Orang Asli ini dalam arus pembangunan berpunca daripada penindasan yang dilakukan oleh orang tengah seperti politikus yang korup dan kapitalis pemaju hartanah yang rakus. Tidak kurang juga berlaku kejadian di mana kawasan-kawasan atau tanah Orang Asli berpindah hak kepada orang perseorangan, institusi kerajaan dan badan-badan swasta seperti estet.

4. Isu tanah merupakan bukan sahaja sebagai ruang fizikal yang pokok untuk dijadikan tempat tinggal malah ia juga merupakan sumber yang mengizinkan masyarakat itu untuk bergiat menampung kehidupan mereka seharian. Justeru itu dalam usaha membangun dan memperbaiki taraf ekonomi masyarakat Orang Asli, pembangunan tanah seharusnya menjadi tunjang kepada pembangunan sosio-ekonomi dan juga pembangunan manusia. 

5. Meletakkan tanggungjawab yang begitu besar kepada JKOA untuk mengendalikan pembangunan sosial seperti membaiki taraf kesihatan, pelajaran, infra-struktur sosial lainnya serta pembangunan ekonomi adalah terlalu membebankan kerana JKOA adalah sebuah agensi yang lebih cenderung kepada pentadbiran. Pihak JKOA misalnya dalam keadaan ini akan hanya dapat memberi bantuan yang kecil sahaja seperti kemudahan membina rumah, binatang ternakan, alat-alat pertanian dan sebagainya.  Kerana itulah impak yang dibawanya paling sederhana kalaupun tidak meleset.

6. Oleh sebab masyarakat Orang Asli tidak memiliki tanah secara milik peribadi maka dengan sendirinya mereka terlepas peluang untuk turut terlibat dan mendapat bantuan daripada kerajaan dalam usaha memajukan tanah pertanian. Kerana itu jugalah agensi-agensi lain dalam pembangunan ekonomi negara tidak dapat memberikan sumbangan mereka secara lebih berkesan dalam projek-projek pembangunan Orang Asli. 

CADANGAN PENYELESAIAN ISU DAN MASALAH

Selagi tidak ada usaha mewujudkan peruntukan undang-undang yang positif terhadap usaha membangunkan masyarakat Orang Asli ini selagi itulah usaha pembangunan yang aktif dan berkesan tidak dapat dilaksanakan untuk membawa manfaat kepada kumpulan masyarakat asal: 

1.    Untuk membolehkan masyarakat Orang Asli melibatkan diri secara lebih aktif dalam pembangunan ekonomi, perlulah Akta 134 itu disemak semula dan diperbaiki. Peruntukan yang membolehkan masyarakat Orang Asli memiliki tanah secara peribadi mestilah disediakan. Tanah Rizab Orang Asli itu perlulah dikekalkan untuk selama-lamanya seperti yang dilaksanakan kepada Tanah Rizab Melayu.

2.   Seluruh struktur organisasi JKOA di peringkat persekutuan dan negeri harus dirombak semula dengan keutamaan diberi secara eksklusif kepada anak-anak orang asli yang berkelayakan untuk mengisi jawatan-jawatan penting dari jawatan Ketua Pengarah di peringkat Profesional dan Pengurusan sehinggalah kepada  jawatan Pekerja Am di peringkat Sokongan. Dengan cara ini integriti dan komitmen maksimum dapat dicapai memandangkan jabatan ini milik mereka.

3.   Orang Asli sering ditinggalkan daripada penyertaan yang bermakna dalam  proses membuat keputusan di ruangan tempatan, nasional, dan antarabangsa  berkenaan isu yang berkaitan dengan mereka. Seharusnya Tok Batin bersama-sama wakil dari JKOA dipanggil setiap kali mesyuarat Penghulu  di mukim tersebut diadakan, apatah lagi dengan kehadiran Pegawai Daerah atau penolongnya. Sebarang keputusan mesti melibatkan mereka. Permasalahan yang diutarakan oleh mereka harus diambil tindakan yang sewajarnya.

4.      Pihak JKOA juga perlulah mengadakan pelbagai program yang melibatkan pendedahan kemajuan. Program Lawatan ke kampung-kampung Orang Asli yang lebih maju pembangunan dan teknologinya harus dijadikan program tahunan. agar terbuka minda mereka. Pemimpin-pemimpin atasan di peringkat  nasional dan negeri harus diminta turun padang untuk bersama-sama Tok Batin serta masyarakat kampung orang Asli. Hal ini kerana segelintir penduduk sahaja yang melibatkan diri dalam program anjuran pihak kerajaan.



5.   Pihak Jabatan Agama Islam negeri Selangor perlu banyak dan sentiasa mengadakan program dakwah di kawasan itu agar terdapat peningkatan jumlah orang Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli. Mereka perlu  menempatkan pegawai sepenuh masa, sebaiknya dari kalangan orang Asli juga, yang akan memastikan kebajikan Orang Asli Islam di situ terjaga. Surau di situ yang cantik serta terjaga mungkin boleh dicadangkan untuk dijadikan surau solat Jumaat khusus untuk penduduk di sini supaya mereka tidak perlu keluar untuk ke masjid berdekatan.

6.    Pendekatan dakwah yang lebih berkesan kepada mereka memerlukan sokongan dan bantuan pihak-pihak berwajib yang mempunyai kepentingan kepada penduduk orang Asli. Dengan mempelbagaikan program yang bersifat kemasyarakatan atau dakwah bi al-hal boleh menarik minat mereka kepada agama Islam, apatah lagi program-program seperti itu mempunyai kepentingan dari segi memenuhi keperluan asas mereka. Pendakwah perlu mempunyai kemahiran berdakwah yang berkesan bagi memenangi hati, perasaan dan akal fikiran kumpulan sasaran. Kemahiran berdakwah secara pemujukan adalah salah satu pendekatan yang mempunyai kepentingan dan kekuatan bagi memperkasakan bidang komunikasi dakwah. Pendekatan seumpama ini merupakan sunnah para Rasul ketika mereka berdakwah kepada kaumnya dengan bimbingan wahyu Ilahi. 

7. NGO Islam harus sentiasa menyantuni komuniti Orang Asli di Kuala Langat  dengan menyertai program ziarah dan menyampaikan sumbangan kepada komuniti Orang Asli di sini,  manakala NGO Alam sekitar juga perlu berada bersama mereka di samping komitmen berterusan untuk memastikan perlindungan hak tanah leluhur Orang Asli. Buktinya, program-program mereka terus mendapat sambutan yang sangat baik  daripada masyarakat Orang Asli.


Throwback
Pembangunan Infrastruktur







Pembangunan Modal Insan




          
                                                                             

 
Rujukan:















Fakta Menarik tentang Stadium Jugra di Telok Datok

  Penyediaan kemudahan awam secara sistematik  di Kuala Langat  hanya bermula apabila British menyediakan  sistem pentadbiran moden. Perkemb...