Namun, menurut salah seorang penduduk asal tempatan, Norlilah Abdullah, 48, datuknya merupakan individu yang dirujuk sebagai Panglima Garang berdasarkan cerita yang disampaikan oleh arwah ibunya, orang-orang tua dan ketua kampung terdahulu.“Datuk dahulu diceritakan pernah menjadi pengiring di istana dan diberi gelaran sebagai Panglima Hitam. Jadi, datuk dengan Sultan Selangor terdahulu ada hubung kait. Arwah nenek selalu juga pergi ke istana yang terletak di Klang, sementara arwah ibu yang masih kecil ketika itu dikatakan rapat dengan Tengku Kelana, selain dianggap seperti anak sendiri.
“Perwatakan datuk pada masa dahulu dikenali sebagai seorang panglima yang sangat garang. Semua orang takut dengan dia. Memiliki fizikal bentuk badan yang besar dan tinggi. Di istana datuk dipanggil dengan gelaran sebagai Panglima Hitam. Namun, tidak ramai yang tahu Panglima Garang dan Panglima Hitam adalah individu yang sama. Tidak dapat dipastikan pula sama ada Panglima Garang adalah satu gelaran atau nama sebenar yang digunakan datuk.
“Difahamkan datuk menggunakan nama yang berbeza di tempat-tempat lain kerana tidak mahu dikesan jejaknya atau diketahui kedudukannya. Ibu ada memberitahu bahawa faktor kedatangan datuk ke sini disebabkan pertelingkahan yang berlaku dalam kalangan adik beradik yang berebut kuasa di tanah asal di Sulawesi.
“Namun, disebabkan datuk tidak mahu berebut kuasa dengan adik beradik yang lain, jadi datuk terpaksa mengalah dan membawa diri ke tempat lain sebelum akhirnya sampai ke Telok Panglima Garang. Justeru, dia tidak akan menggunakan nama yang sama setiap kali tiba di mana-mana tempat bagi mengelakkan adik beradik lain mengesannya,” katanya.
Berdasarkan cerita yang disampaikan ibunya lagi, datuknya datang ke sini dalam satu kumpulan yang kesemuanya ada lima orang. Ketika itu, tempat ini belum dinamakan sebagai Telok Panglima Garang.
“Datuk datang menaiki perahu memandangkan kawasan di sini merupakan perairan dan turut dikatakan ada kapal-kapal pernah memasuki di lokasi berhampiran.
“Jadi, apabila sampai, datuk pun membina petempatan awal bersama yang lain. Dikatakan ada kisah penentangan terhadap hasrat Orang Asli yang hendak membina petempatan di sini juga, namun difahamkan datuk menolak keras dan menghalau mereka.
“Ini kerana datuk mahukan petempatan yang hanya diduduki oleh orang-orang dia sahaja. Maka sebab itu, kebanyakan Orang Asli membawa diri ke tempat lain untuk membina petempatan mereka sendiri,” katanya.
Peristiwa mengenai keberanian seorang suami menyelamatkan isterinya dari dibaham harimau menurutnya, lelaki yang dimaksudkan itu merupakan kisah datuknya.
“Mengikut cerita ibu, datuk memang seorang yang berani. Jadi, ketika harimau cuba menerkam nenek, datuk bertindak melawan sehingga akhirnya harimau itu berjaya ditewaskan.
“Disebabkan keberanian datuk tidak ada pada orang lain, maka nama tempat itu dinamakan sebagai Telok Panglima Garang memandangkan hanya orang yang garang sahaja berani menewaskan harimau tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, bercerita tentang punca kematian Panglima Garang, Menurut Rozita Abdullah, 50, datuk dikatakan meninggal dunia akibat ditembak menggunakan peluru emas selepas selesai melakukan tugas menjaga sebuah gudang beras.
“Datuk ditembak banyak kali, namun tembakan musuh tidak pernah berjaya menembusi tubuh datuk disebabkan datuk ada mengamalkan ilmu kebal. Menerusi ilmu kebal yang menjadikan datuk kuat dan kebal daripada serangan apa jua jenis senjata. Hanya selepas salah seorang daripada rakannya memaklumkan kelemahannya kepada musuh barulah datuk mati dibunuh.
“Kelemahan yang diperkatakan adalah mengenai jenis peluru digunakan. Difahamkan hanya peluru emas sahaja yang berkesan membunuh datuk. Sebab itulah, walaupun beberapa kali ditembak menggunakan peluru biasa, namun ia tidak akan berjaya menembusi tubuh datuk. Ketika itu, arwah Pak Ucu kami iaitu Busu Bachok baru berusia dua tahun.
“Pak Ucu yang merupakan juruterbang pertama negara melakukan penerbangan ke Alaska merupakan anak bongsu daripada enam anak, hasil perkahwinan datuk dengan nenek. Di antara adik-beradik, Pak Ucu memiliki wajah yang mirip dengan wajah datuk,” katanya